Aman Aziz & Andi Bernadee Perlu rapat dengan peminat


Memiliki kelab peminat tidak dinafikan menjadi nadi penting kerjaya selebriti.

Sama ada yang rasmi atau tidak rasmi, jelas peminat di Malaysia bersungguh-sungguh melakukan apa saja demi artis kesayangan mereka.

Lihat saja kehadiran mereka pada setiap acara besar dengan membawa kain rentang selain memakai baju tertera nama atau wajah artis kesayangan itu.

Ramai artis turut terharu dengan kesungguhan mereka dan menghargainya dengan membabitkan diri dalam setiap aktiviti dianjurkan. Tidak kurang merapatkan akses dan jurang peminat dengan mereka.

Namun ada juga segelintir artis yang nampaknya tidak menjadikan kelab peminat itu sebagai keutamaan.

Bagi mereka, sokongan terhadap karier tidak semestinya datang daripada peminat.

Tidak ketinggalan ada yang mempergunakan kelab peminat ketika mempunyai kepentingan saja. Ini termasuk sewaktu mahu meminta undian untuk apa-apa acara.

Tapi, selepas itu kelab peminat diabaikan dan tiada inisiatif hendak terbabit dalam mana-mana program dianjurkan mereka.

Berikut pendapat beberapa artis mengenai relevan memiliki kelab peminat dan komitmen untuk sentiasa rapat dengan mereka.

AMAN AZIZ (PELAKON)

“Bagi saya, tidak patutlah artis rapat dengan peminat apabila ada keperluan saja. Artis perlu layan peminat sebagaimana mereka melayannya.

Saya sendiri sangat bersyukur apabila peminat tetap menyokong dan tidak berubah hati meskipun pernah beberapa tahun tidak keluar dengan apa-apa produk.

Memang rasa pelik juga apabila mereka tidak berubah hati dan setia memberi semangat kepada saya sehinggalah kembali ada produk tahun ini.

Hubungan saya dengan peminat memang sangat rapat seperti adik-beradik. Cara layanan saya kepada mereka memang tiada jurang dan mereka juga begitu.

Disebabkan itu saya sangat mementingkan mereka setiap masa kerana dalam apa-apa juga keadaan, mereka memang akan sentiasa berada di belakang saya.

Bagaimanapun, segala bentuk sokongan yang diberikan mereka sangat penting untuk saya. Untuk hal yang membabitkan undian, mereka selalu ada.





ANDI BERNADEE (PENYANYI)

“Bagi saya ia relevan. Saya perlu rapat dengan kelab peminat kerana mereka terdiri daripada golongan yang percaya dengan bakat saya. Mereka adalah akar kepada tapak saya dalam dunia seni.

Mereka adalah ‘primary defense’ apabila saya diserang atau difitnah kerana kami rapat dan sentiasa berkongsi maklumat. Mereka juga penyokong tegar saya ketika jatuh atau bangun.

Saya sendiri sangat rapat dengan Andibernadee.ofc dan kerap berkongsi isu atau pergerakan saya sendiri. Kami ada kumpulan tertutup yang terdiri daripada pengendali setiap kelab peminat saya.

Mengenai artis yang mengabaikan peminat, siapalah saya untuk meletakkan penilaian terhadap sesama rakan artis kerana tidak mengetahui sejauh mana mereka bergaul dan berkongsi maklumat.

Mungkin mereka ada pengendali yang dilantik untuk menjaga kumpulan masing-masing. Bagi yang rasa tersisih mungkin mereka terdiri daripada peminat biasa.

Kemungkinan mereka tidak dapat atau mahu menubuhkan kelab peminat sendiri tanpa persetujuan artis terbabit.”

Post a Comment

Previous Post Next Post