Pengacara, pelakon dan model tinggi lampai, Ain Edruce, 27, membuat pengakuan dia kini berkawan dengan seorang kerabat diraja sejak dua tahun lalu.
Menurut pelakon yang dikenali menerusi drama ‘Kekasih Paksa Rela’ di slot Akasia TV3 ini, dia berkenalan dengan kerabat diraja dari sebuah negeri itu menerusi menerusi laman Instagram miliknya.
"Si dia yang mula menghantar pesanan Direct Message (DM) ingin mengenali saya dengan lebih dekat lagi, kira-kira dua tahun lalu.
"Sebenarnya, si dia juga sudah banyak kali meminta nombor telefon bimbit saya tetapi buat masa ini, saya lebih selesa kami berkomunikasi di laman Instagram saja.
"Kami juga belum pernah keluar berdua kerana saya lebih selesa berkawan dulu," katanya kepada Harian Metro.
Mengenai status kerabat diraja itu, kata Ain, si dia juga masih muda dan berstatus bujang.
"Saya mohon maaf tidak boleh berkongsi identiti si dia termasuk dari kerabat negeri mana kerana mahukan privasi.
"Buat masa ini, saya belum bersedia untuk ke fasa seterusnya kerana selesa berkawan dulu.
"Saya sedar bukan mudah untuk menjalinkan hubungan dengan golongan kerabat diraja dan menyesuaikan diri dengan kehidupan istana.
"Saya juga bimbang jika akhirnya saya yang akan makan hati pula nanti.
"Sebab itu, saya perlu lebih berhati-hati untuk menjalinkan hubungan dengan golongan terbabit," katanya.
Ain ditemui ketika sesi temubual bersama barisan hos Pop Express di Studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam di sini, jumaat lalu.
Bagaimanapun, Ain juga menafikan dakwaan dirinya hanya memilih untuk berkawan dengan golongan kerabat dan VIP saja. Sebenarnya, saya tidak kisah berkawan dengan orang biasa.
"Cuma kalau boleh, saya mahu mengelak dari bercinta dengan golongan artis mahupun lelaki suami orang," katanya.