Ucapan romantis Izreen Azminda sempena birthday Ude boleh bikin cair
Pasangan ini baharu sahaja berbulan madu di Bali, Indonesia.
Video dan ucapan istimewa pelakon Izreen Azminda kepada suaminya Ude sempena ulang tahun pemuda itu yang ke 30 di laman sosial Instagram mendapat perhatian netizen.
Izreen atau nama sebenar Izreen Azminda Aznam, 33, berkata, dia berjanji untuk sentiasa menjadi peneman dan mengakhiri kehidupannya dengan Ude jika diizinkan Allah.
“Buat lelaki yang aku kasihi, selamat ulang tahun kelahiran yang ke 30, semoga diluaskan pintu rezeki, dilimpahi kebahagiaan dalam kehidupan. Diberi kesihatan yang baik dan sentiasa di bawah lindunganNya.
“Hidup ini penuh dengan kejutan yang tidak dapat kita bayangkan dan Tuhan itu adil pada setiap insan. Tidak hari ini esok, lusa dia hadiahkan apa yang perlu cuma kesabaran.
“Aku di sini akan sentiasa sebagai peneman, mengakhiri sebuah kehidupan jika Allah mengizinkan. Jangan sesekali kau salahkan Tuhan untuk apa yang telah direncanakan kerana setiap manusia punya ujian bagi menguji sebuah keimanan.
“Lapangkan dada buang tekanan agar kehidupan sentiasa aman,” tulisnya.
Video dan foto romantis Izreen sempena ulang tahun Ude.
Video dengan foto romantik mereka yang dimuat naik pada malam Isnin mendapat hampir 50,000 tontonan.
Bagaimanapun, sehingga kini pelakon Kerana Terpaksa Aku Relakan itu masih tidak membuka ruangan komen bagi mengelakkan kata-kata negatif dan perbalahan netizen.
Sebelum ini, pasangan ini mengambil keputusan menutup selama hampir sebulan laman sosial terbabit berikutan tidak tahan kecaman dan serangan netizen pada 2 Mac lalu.
Sementara itu, beberapa hari lalu, Ude atau nama sebenarnya Muhammad Radzi Abdul Wahid berkongsi beberapa foto sekitar percutian bulan madu mereka di Bali, Indonesia.
Selepas berdepan kontroversi, pasangan tersebut mencuri masa untuk menenangkan fikiran dan menghabiskan masa berdua.
Antara foto yang dimuat naik Ude.
Pada November lalu, Izreen mendedahkan sudah berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos 2017 secara tertutup dan ia dirahsiakan atas permintaan suaminya itu.
Izreen mempunyai seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia lima tahun hasil perkahwinannya terdahulu dengan jurukamera iaitu Muhammad Riza.
Pasangan ini dihimpit kontroversi apabila pemuzik bebas itu menceraikan isterinya Intan Liana Saleh dengan talak satu pada pukul 9.50 pagi pada 22 Mac lalu.
Mereka berkahwin pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Arish Muqri, 3, serta Ariq Muqri, 1 tahun.