Zara Zya sukar buang imej baik


Mencuba nasib menjadi penyanyi menerusi single sulung berjudul Hilang tidak lama lagi, Zara Zya menganggap ia sebagai hadiah buat peminat yang mahu melihatnya menyanyi.

Pelakon Zara Zya mengakui sukar untuk membuang skeptikal dan tanggapan daripada peminat yang sering melabelnya hanya sesuai menjayakan watak baik dan wanita kampung.

Hal itu dibuktikan sejurus dia mewarnakan rambut kepada warna perang beberapa bulan lalu sehingga mendapat kecaman teruk daripada netizen di laman sosial.
Hakikatnya, perubahan tersebut dilakukan pemilik nama Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 33, demi memenuhi tuntutan wataknya dalam drama terbaharu berjudul Mona Lisa yang akan disiarkan pada 20 Mac ini di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Akui pelakon drama Hidayahmu Ramadan itu lagi, kecaman tersebut adalah yang paling teruk pernah diterimanya selama bergelar pelakon.

KOSMO!: Boleh Zara ceritakan dengan lanjut tentang watak dalam drama Mona Lisa?

ZARA ZYA: Dalam drama ini saya memegang watak sebagai Melissa yang merupakan anak seorang hartawan. Dia memiliki segala-galanya dari segi kerjaya, harta dan kedudukan.

Sehinggalah dia bertemu dengan seorang wanita bernama Mona dan cuba membantunya keluar daripada masalah, namun malangnya niat baik itu memakan diri apabila dikhianati. Ia merupakan adaptasi daripada naskhah popular Korea Selatan berjudul The Women’s Room yang disiarkan pada 2013.





Difahamkan anda menukar gaya penampilan untuk drama ini. Boleh jelaskan?

Ya, betul. Kalau diikutkan, karakter Melissa sama sahaja dengan watak-watak terdahulu. Cuma untuk menyesuaikannya dengan gaya anak orang kaya yang berkerjaya, jadi saya perlu menukar imej terutama mewarnakan rambut. Bagaimanapun, tidak sangka pula imej baharu ini dikecam peminat yang menganggap saya sudah berubah. Hal ini terjadi kerana ramai peminat beranggapan saya sesuai dengan imej baik berambut hitam sama seperti drama terdahulu.

Janganlah menilai orang semudah itu sebab tidak semestinya wanita berambut perang dan bergincu merah terang itu jahat. Lebih mengejutkan ramai dalam kalangan peminat yang memberi kecaman itu terdiri daripada pelajar sekolah belasan tahun.

Kadang-kadang saya malas layan tetapi apabila sampai satu tahap, saya sindir mereka kembali. Selepas itu barulah mereka meminta maaf. Menyedari keadaan itu saya jadi bimbang dengan remaja zaman sekarang yang menggunakan media sosial tanpa pemantauan.

Tukar warna rambut sahaja sudah dikecam, jadi apa komen anda andai lakonan dalam drama adaptasi tersebut juga akan dikecam?

Saya tidak kisah sebab dahulu pun pernah jua dikecam oleh peminat K-Pop apabila pertanyaan saya di Instagram disalah erti. Saya cuma bertanya apa keistimewaan K-Pop untuk membuat kajian bagi mendalami watak dalam drama ini tetapi tidak sangka ada peminat yang salah tafsir dan menganggap pertanyaan itu sebagai sindiran. Jadi, saya okey sahaja andai dikecam lagi.

Apa perkembangan terkini anda?

Sekarang saya masih sibuk dengan penggambaran Mona Lisa yang dijangka berakhir pada April depan. Pada masa sama, saya bakal muncul dengan sebuah lagu berjudul Hilang dan ia merupakan percubaan pertama saya bergelar penyanyi.

Lagu semua sudah siap, cuma menunggu masa sesuai untuk dilancarkan. Tunggu penggambaran drama ini selesai, barulah saya boleh fikirkan langkah selanjutnya supaya tidak bertembung.

Mengapa memilih untuk menjadi penyanyi? Adakah anda bersedia menerima kecaman seandainya nyanyian anda dilabel tidak sedap oleh peminat?

Saya tiada masalah untuk mencuba perkara baharu dalam hidup. Selagi ada ruang dan bakat yang boleh digunakan, saya akan ambil peluang itu. Saya tidak kisah dengan kecaman. Saya tahu akan ada orang kecam tetapi tidak mengapa sebab tetap akan ada orang yang suka.

Post a Comment

Previous Post Next Post