Lawak Ke Der kembali ke Istana Budaya


Barisan pelawak dan artis terkenal termasuk (berdiri di belakang dari kiri), Gurmit Singh, Afdlin Shauki, Shahrol Shiro, Ajak Shiro, (depan dari kiri (Zainal, Sherry Alhadad dan Syuk yang akan terlibat dalam Lawak Ke Der 2018 di Istana Budaya pada 29 hingga 31 Mac nanti.

Mula diperkenalkan kepada penonton sejak tahun 2012, sambutan khalayak terhadap persembahan Lawak Ke Der sentiasa mendapat sambutan.

Memasuki penganjuran kali keenam, reaksi positif itu sekali gus mendorong penerbit, Hans Isaac menerusi Tall Order Sdn. Bhd. untuk menghiburkan khalayak menerusi Lawak Ke Der 2018.

Barisan pelawak yang akan membuat persembahan ialah kumpulan Shiro, Datuk Afdlin Shauki, Shuk, Sherry Al-Hadad dan Gurmit Singh.

Acara itu yang bakal berlangsung pada 29 hingga 31 Mac ini di Istana Budaya juga memperlihatkan kelainan menerusi penampilan istimewa Datuk Zainal Abidin.

Kata Hans, pemilihan penyanyi yang terkenal menerusi lagu Hijau itu dibuat berdasarkan sifat humor dan kemahirannya berjenaka secara spontan.

“Khalayak pasti mengenali beliau sebagai penyanyi tetapi tidak mengetahui sama ada mampu berjenaka atau tidak. Perkara itu secara tidak langsung memberi persoalan kepada penonton dan tarikan untuk menyaksikan persembahan kelak,” jelasnya.





Jenaka bersahaja

Teruja untuk membuat persembahan, Zainal mengakui dirinya bukan seorang pelawak, apatah lagi mahu berusaha ke arah itu.

Baginya, sifat yang gemar berjenaka dan mengusik kenalan terdekat tidak melayakkan diri untuk berdiri setaraf dengan pelawak profesional tanah air.

“Terus terang saya masih tidak mempunyai sebarang idea mahupun konsep persembahan yang akan dilakukan kelak. Namun, yang pasti, jenaka berkenaan lebih banyak melibatkan tentang diri saya sendiri.

“Sukar untuk saya melibatkan individu lain, justeru lebih senang sekiranya saya berkongsi tentang kisah hidup dan pengalaman sendiri dalam bentuk jenaka,” terangnya yang turut memastikan tidak menyentuh sensitiviti masyarakat mahupun menyinggung mana-mana pihak.

Penyanyi berusia 58 tahun itu turut memberitahu, dia menerima tawaran untuk menjayakan persembahan berkenaan kerana telah lama mengenali Hans dan Afdlin.

Debaran
Selain mempertaruhkan selebriti popular tanah air, pelawak kelahiran Singapura, Gurmit Singh yang terkenal menerusi sitkom Phua Chu Kang tidak menafikan dirinya berasa tertekan untuk melakukan persembahan stand up comedy atau komedi solo.

Biarpun telah lama bergelar pelawak, Gurmit mengakui mudah berasa gementar apabila berasa di atas pentas sendirian.

Katanya, sepanjang terlibat dengan aktiviti seni sejak tiga dekad lalu, hanya sekali sahaja dia melakukan persembahan komedi solo.

“Disebabkan terlalu takut, saya berasa jantung ini seperti ingin meletup sekiranya membuat persembahan sendiri di atas pentas,” seloroh Gurmit.

Meskipun tidak menafikan dia berasa gementar dengan sambutan peminat kelak, Gurmit mengakui sokongan pelawak lain telah memberinya semangat untuk tampil yakin membuat persembahan kelak.

Pada masa sama, dia turut mengharapkan peluang persembahan sekitar 20 minit turut memberinya ruang untuk berinteraksi dengan penonton di Istana Budaya kelak.

Post a Comment

Previous Post Next Post