Magis Didi & Friends


Berbekalkan tiga karakter comel, Didi, Jojo dan Nana serta barisan lagu yang ringkas seperti Oh Na Na, Tayar Bas dan Bingo, siri Didi & Friends umpama magis, pantas menawan hati kanak-kanak seluruh Malaysia. Mula diperkenalkan di platform YouTube pada awal 2014, menariknya dalam tempoh enam bulan sahaja ia telah meraih lima juta tontonan.

Angka tersebut semakin bertambah kerana sehingga kini siri Didi & Friends telah mencapai jumlah tontonan sebanyak satu bilion di YouTube. Sungguh, ia suatu pencapaian luar biasa untuk sebuah siri animasi buatan Malaysia.

Namun, ramai yang tidak tahu pencipta Didi & Friends, Pengarah Digital Durian, Sinan Ismail, melalui perjalanan yang penuh liku sebelum karyanya dikenali ramai. Pernah dipandang sinis dan diketawakan ketika mengetengahkan idea kartun tersebut, itu antara pengalaman yang tidak boleh dilupakannya.

“Sewaktu mula hendak menyiarkan siri Didi & Friends selama dua minit di YouTube adalah saat paling mencabar. Semua orang di sekeliling saya mengatakan projek kartun itu tidak akan berjaya. Persoalan mereka, bagaimana saya hendak hidup dan buat duit?

“Sebab kebiasaannya siri animasi dijual di stesen televisyen bukannya disiarkan secara percuma di YouTube. Saya cekalkan hati dan percaya bahawa perlu untuk penonton Malaysia mengenali tiga karakter utama Didi, Jojo dan Nana terlebih dahulu. Saya juga percaya orang ramai inginkan lagu kanak-kanak yang berkualiti,” katanya membuka bicara.

Percaturannya berjaya, hanya dalam tempoh setahun selepas disiarkan di YouTube, pihak Astro melabur dan menjalinkan kerjasama dengan Digital Durian. Populariti siri Didi & Friends berada di puncak apabila ia mula disiarkan di saluran Astro Ceria pada 2015.

Mengimbas ke belakang, Sinan tidak sangka siri Didi & Friends boleh menjadi fenomena dalam waktu yang singkat. Sebelum serius dalam bidang animasi, pelbagai perniagaan telah diusahakan Digital Durian untuk meneruskan kelangsungan hidup sejak mula dibuka pada 2008 sehingga 2013. Antaranya termasuklah bidang perkahwinan dan multimedia.

“Kami buat pelbagai perniagaan seperti video perkahwinan, kad perkahwinan, cenderahati perkahwinan, rekaan laman web dan e-learning. Kiranya semua kerja yang boleh dibuat kami buat tetapi minat memang terhadap animasi.

“Tidak disangka kami dapat berada pada tahap hari ini dalam tempoh singkat. Dahulu, terasa begitu jauh dan sukar untuk capai apa yang Digital Durian ada pada hari ini. Bayangkan pada 2013 kami bermula dengan hanya empat orang animator tetapi sekarang ada 70 orang animator,” tutur Sinan.





Global

Menyentuh tentang kejayaan yang dikecapi, kata kunci pegangan Sinan adalah jangan pernah berasa selesa dan berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Justeru itu, selepas tiga tahun diperkenalkan di Malaysia, siri Didi & Friends telah mula dipasarkan ke peringkat global.

Bermula dengan siri berbahasa Melayu, kini Didi & Friends bakal ditonton dalam lapan bahasa berbeza antaranya Inggeris, Indonesia, Mandarin, Vietnam, Spanish dan Hindi.

“Alhamdulillah siri Didi & Friends telah membuka mata ramai pihak. Ia bukan semata-mata mempunyai jumlah tontonan yang tinggi di YouTube tetapi lebih daripada itu. Ia menghiburkan dan pada masa sama mendidik anak-anak,” ujar Sinan tentang siri yang mempunyai 86 buah lagu secara keseluruhan.

Bercakap tentang pasaran peringkat global, setakat ini terdapat beberapa pembeli dari negara luar telah menandatangani kontrak. Melihat perkembangan positif tersebut, tidak mustahil untuk siri Didi & Friends pergi lebih jauh.

“Saya yakin dengan penerimaan khalayak terhadap jenama Didi & Friends. Jika di Malaysia kita ada kerjasama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Tomok, saya harap selepas ia dikenali pada peringkat global, mungkin kami dapat bekerjasama dengan penyanyi antarabangsa pula.

“Ia kedengaran mustahil tetapi dengan impian dan usaha, saya yakin perkara itu boleh berlaku,” tutur Sinan.

Selain siri Didi & Friends, satu lagi siri animasi keluaran Digital Durian, Omar & Hana turut menempa kejayaan serupa apabila turut dieksport ke beberapa buah negara Islam.

“Atas permintaan ibu bapa yang mahukan sebuah animasi berciri islamik, maka terlahirlah Omar & Hana. Sambutannya amat menggalakkan dan memiliki pasaran luas, terutamanya negara Islam. Lirik dan melodi lagu dikekalkan, cuma bahasa sahaja yang diubah,” kongsinya.

Konsert

Biarpun sudah popular, Didi & Friends tetap memikul tanggungjawab besar terhadap lebih 2.5 juta peminat cilik mereka. Oleh itu, setiap skrip yang dihasilkan akan dirujuk kepada pakar kanak-kanak bagi tujuan pemantauan jalan cerita, lirik lagu dan perjalanan animasi tersebut secara keseluruhan.

Bagi Sinan, langkah sebegitu penting siri berkenaan dilihat sebagai hiburan pendidikan bukanlah hiburan semata-mata.

“Saya mahu lebih ramai orang menonton siri Didi & Friends. Semakin popular siri Didi & Friends, semakin besar tanggungjawab yang kami pikul. Animasi boleh mempengaruhi anak-anak dengan mudah, sama ada baik atau buruk.

“Sebab itu setiap bicara dan perbuatannya diteliti kerana kami faham akan kebimbangan ibu bapa. Saya tidak mahu dilabel sebagai syok sendiri atau membawa pengaruh tidak baik. Jadi, setiap lagu dan siri yang dikeluarkan pasti mempunyai kisah positif,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, siri popular tersebut sedang hangat ditayangkan di panggung wayang menerusi Konsert Hora Horey Didi & Friends sejak 10 Mac lalu.

Ini merupakan kali kedua siri Didi & Friends ditayangkan di pawagam selepas sambutan hangat pada tahun lalu. Bezanya, tahun ini ia membawakan konsep konsert dan interaktif terhadap kanak-kanak. Lebih istimewa, ia turut menampilkan Siti Nurhaliza dan Tomok bagi menceriakan persembahan.

“Idea untuk menampilkan konsert sebagai konsep persembahan tercetus selepas saya menonton secara berbayar salah sebuah tayangan Didi & Friends di pawagam pada tahun lalu.

“Waktu itu saya mendapat tiket di bahagian paling depan. Melihat kanak-kanak berjoget, menari dan menyanyi, membuatkan saya sedar ia lebih daripada animasi yang ditonton di skrin.

“Jadi, format konsert dan interaktif diperkenalkan pada tahun ini supaya lebih dekat dengan penonton kanak-kanak. Tidak ada isu tentang membawa kanak-kanak ke pawagam kerana ketika menonton Konsert Hora Horey Didi & Friends mereka digalakkan menari dan menyanyi.

“Ibu bapa juga boleh mengambil gambar dan merakam video anak-anak. Berbeza ketika menonton filem lain, anda tidak dibenarkan mengeluarkan telefon. Matlamat kami agar sebuah keluarga mempunyai momen istimewa pada cuti persekolahan ini,” luah Sinan.

Post a Comment

Previous Post Next Post