Sufian Suhaimi Lagu tiada kaitan insiden putus tunang


Penyanyi popular, Sufian Suhaimi menafikan mencuba untuk meraih publisiti melalui insiden putus tunang bagi mempromosikan single terbaharunya, Di Matamu.

Katanya, lagu tersebut ditulis bukan kerana masalahnya sebaliknya mengambil inspirasi daripada ramai individu sekeliling.

"Lagu ini siap sepenuhnya akhir tahun lalu. Ia ditulis berdasarkan cerita kawan-kawan dan ilham itu datang secara tiba-tiba.

"Netizen yang mengaitkan kononnya lagu ini ada kaitan dengan apa yang berlaku, sedangkan ia hanyalah kebetulan.

"Lagipun, saya rasa tak baik kalau buat macam itu," katanya pada Sinar Harian ketika ditemui selepas pengumuman segmen baharu stesen radio Era.

Sufian dan aktres popular, Elfira Loy bertunang pada 6 Oktober lalu dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Mac ini.

Bagaimanapun, ikatan pertunangan dua bintang muda ini terlerai apabila keluarga Elfira sepakat untuk memulangkan cincin kepada keluarga Sufian di Muar, Johor pada 19 Februari lalu.

Dalam pada itu, biarpun belum dilancarkan secara rasmi, lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu terus mendapat perhatian netizen.





"Saya rasa penerimaan pendengar untuk lagu ini terlalu cepat. Tapi, saya tetap tampil berbeza untuk versi rasminya nanti.

"Teaser yang ada ini hanyalah sebagai salam perkenalan buat pendengar," katanya.

Menurut penyanyi berusia 26 tahun ini, versi rasmi Di Matamu bakal dilancarkan di laman You Tube pada 23 Mac ini.

"Kita tak hanya lancar untuk audio atau lirik sebaliknya siap pakej dengan muzik videonya.

"Sebabnya, kita mahu kongsikan lagu ini beserta dengan maksudnya dan bukan hanya bersandarkan lirik semata-mata," katanya.

Jelasnya, muzik video lagu itu mengisahkan perjalanan hidupnya dari dahulu sehinggalah hari ini.

"Macam mana perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan kita itu boleh terkesan pada our personality, penampilan dan juga diri seseorang," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post