Isu lambakan pelakon baharu yang muncul bak cendawan selepas hujan bukan lagi perkara lapuk dalam industri. Kemunculan mereka diibaratkan sebagai wajah pelapis selain memeriahkan industri dengan bakat yang dimiliki.
Namun mengikut peredaran zaman, kemunculan mereka seiring dengan penguasaan penggunaan media sosial yang dilihat menjadi ‘platform segera’ untuk dikenali ramai sekali gus mengumpul peminat.
Malangnya, mempunyai kelompok peminat yang ramai bukanlah pelengkap syarat untuk menjadi seorang pelakon yang dikenali kerana hakikatnya ia berbalik kepada soal bakat.
Berbicara tentang perkara itu, pelakon Elizad Sharifuddin yang ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini bagi mempromosi filem terbaharunya berjudul Takdir ada pandangan tersendiri.
KOSMO:! Boleh Elizad ceritakan tentang penglibatan dalam filem Takdir dan mengapa anda menerima projek ini?
SITI ELIZAD: Dalam filem ini saya memegang watak sebagai Soffiya, seorang isteri yang bekerjaya dan mempunyai keluarga bahagia. Namun dia disahkan menghidap kanser dan di situlah bermulanya konflik. Saya tertarik dengan filem ini selepas membaca skripnya yang bercerita tentang wanita. Kekuatan seseorang wanita itu apabila berdepan dengan ujian besar dalam hidupnya. Ia menarik kerana saya juga hidup dalam kalangan keluarga yang menghidap kanser.
Apa cabaran yang anda lalui untuk watak dalam filem itu?
Bagi saya, tidak susah untuk mendalami watak seorang wanita yang menghidap kanser kerana pengalaman itu sendiri memang pernah dilalui dalam dunia realiti. Arwah ibu saya seorang pesakit Parkinson dan selama hayatnya dulu sayalah yang banyak menjaganya. Dari situ ia membuka mata saya tentang satu hal tentang penghidap penyakit seperti ini.
Orang selalu melihat apabila seseorang disahkan menghidap kanser, dia akan berputus asa untuk meneruskan hidup gara-gara sakit yang dialami. Berbeza dalam filem ini, ia merupakan satu cabaran kerana saya mahu menonjolkan sisi berbeza seorang pesakit kanser. Tidak semestinya apabila sakit, kita tidak boleh jalani hidup dengan gembira seperti biasa.
Apa pula komen anda tentang gandingan bersama Riezman?
Saya sangat berbesar hati kerana terpilih menjayakan watak ini. Sejujurnya, saya seronok kerana mendapat pasangan yang profesional berbanding pelakon baharu kerana cerita ini sendiri sangat berat. Bukanlah mahu kata pelakon baharu tiada yang mampu membawa cerita seberat ini, cuma dari segi isi kandungan ia lebih sesuai untuk pelakon yang sudah punya pengalaman.
Boleh anda rungkaikan dengan lebih lanjut tentang kenyataan berkaitan pelakon baharu tersebut?
Apa yang dimaksudkan ialah saya tidak memperkecilkan bakat baharu kerana pada awal karier pun saya juga sama seperti mereka. Cuma pada saya, untuk watak berat sebegini ia memerlukan gandingan yang boleh menyokong dan membantu menaikkan sesama sendiri ketika di set. Ini bukan bermaksud saya meletakkan diri sebagai pelakon profesional, cuma memang skeptikal penerbit dan penonton itu sendiri yang sering melihat ‘makanan’ saya adalah cerita berat. Jika Siti Elizad, ia mesti sebuah cerita berat dan berendam emosi.
Bagi saya, seorang aktor yang bagus bukan sekadar tentang disiplin tetapi bagaimana dia mampu menaikkan serta menyokong pasangan masing-masing.
Adakah ia bermakna anda tidak suka jika digandingkan dengan pelakon baharu?
Bukan itu maksud saya. Soalnya di sini ialah bukan tidak mahu pasangan pelakon baharu kerana sejujurnya saya memang seorang yang bersifat terbuka. Cuma kalau untuk naskhah yang berat, perlu untuk meletakkan pelakon lama yang berkarakter. Jadi apabila saya membawa watak yang berat dan andai kata pada waktu itu pasangan saya adalah pelakon baharu yang tidak ‘memberi’, jadi ia akan membuatkan situasi itu tidak seimbang.
Jadi apakah yang anda mahu katakan tentang pelakon baharu pada masa kini?
Apa yang saya katakan ini bukanlah untuk tujuan menghentam. Sebaliknya saya bercakap secara rawak. Saya ambil semuanya dari sudut positif kerana dahulu pun saya bermula dari bawah.
Saya memandang isu ini mudah. Kalau seseorang pelakon baharu terus diberi watak berat tetapi dia gagal menjiwai, penonton pun akan terkesan. Semuanya berbalik kepada peranan pihak produksi untuk menilai sejauh mana kemampuan mereka. Pelakon baharu juga janganlah bersikap mendabik dada jika di set penggambaran. Ambillah peluang bertemu dan berlakon dengan pelakon lama sebagai masa untuk menimba ilmu daripada mereka.