Khai Bahar ubati 
kecewa di Bandung


Khai Bahar bakal tampil dengan single duet terbaharunya bersama penyanyi Fatin Husna berjudul Rahsia Kita.

Ibarat mengubati kekecewaan, penyanyi yang popular dengan lagu Luluh dan Bayang, Khai Bahar bakal mengadakan sebuah persembahan mini di Bandung, Indonesia pada Mei depan.

Peluang keemasan tersebut hadir selepas dia terpaksa menangguhkan persembahan yang dijadualkan berlangsung di Hong Kong pada penghujung tahun lalu akibat taufan yang melanda negara itu.

Ekoran penganjuran persembahan mini tersebut, pemilik nama penuh, Muhammad Khairul Baharuddin, 24, melahirkan rasa syukur kerana membolehkannya bertentang mata dengan peminat yang menetap di luar negara, sekali gus berpeluang melebarkan sayapnya di sana.

“Jika tiada aral melintang, saya akan mengadakan persembahan mini di Bandung pada Mei depan dan dijangka akan beraksi di hadapan kira-kira 2,000 peminat.

“Selain persembahan mini, peminat yang bertuah juga berpeluang melancong bersama saya nanti.

“Bagaimanapun, persembahan di Hong Kong pula tetap akan berlangsung juga cuma tarikhnya tidak dapat dipastikan lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk pencuci muka, C Clean Plus di Bora Ombak, Marina Putrajaya.



Peminat luar negara

Kata jejaka yang mula dikenali menerusi aplikasi Smule itu, pihak pengurusannya memilih untuk mengadakan persembahan mini di Bandung terlebih dahulu kerana jarang berkesempatan berada di Indonesia.

Malah, penyanyi yang berasal dari Perlis itu juga tidak menolak akan membuat siri jelajah di seluruh negara untuk peminat di Malaysia pada masa depan.

“Ini merupakan perancangan syarikat rakaman dan saya hanya ikutkan sahaja apa yang dirancangkan.

“Nampaknya, saya memilih untuk mengadakan persembahan mini terlebih dahulu berbanding konsert kerana ia lebih santai bagi memberi peluang kepada peminat beramah mesra,” jelasnya yang bersyukur kerana mempunyai kalangan peminat yang bukan sahaja di dalam tetapi di luar negara.

Dalam perkembangan terbaharu, Khai juga bakal tampil dengan single duet bersama penyanyi Fatin Husna berjudul Rahsia Kita.

“Sejujurnya lagu ini sudah lama dirakamkan, cuma baru kini kami tampilkan single duet ini untuk peminat.

“Selain itu, saya masih dalam proses mencari material untuk berkolaborasi dengan dua penyanyi terkenal iaitu Zamani dan Siti Nordiana,” katanya yang mahukan impak menerusi single duetnya nanti.



Duta

Ketika ditanya pelantikannya sebagai duta produk buat kali pertama selepas hampir tiga tahun berada dalam industri, Khai sebelum ini ada menerima tawaran untuk menjadi duta, cuma masanya dilihat tidak kena selain terikat dengan jadual kerja yang padat.

“Ini merupakan kali pertama saya dilantik sebagai duta, sementelah saya sendiri menggunakan produk ini selama tiga bulan.

“Sebelum ini, bukan tidak ada yang menawarkan peluang tetapi ia lebih kepada kerjasama sahaja,” jelas Artis Paling Popular Anugerah Planet Muzik 2017 itu optimis.

Bercerita mengenai gosip yang mengaitkan dirinya dengan penyanyi lagu Ewah, Wany Hasrita dan terbaharu, penyanyi lagu Bunga, Ara Johari, Khai menganggap semua itu tidak lebih sekadar usikan manja dalam industri.

“Saya tidak kisah digosipkan dengan mana-mana rakan artis selagi ia tidak berlebihan. Pada saya, asalkan peminat gembira biarlah tetapi tidak sangka pula ada yang membuka laman sosial Instagram khas untuk kami berdua.

“Malah, setiap gambar dan aktiviti kami berdua juga dikongsi di Instagram tersebut,” ujarnya yang mula dikaitkan dengan Wany selepas muncul dalam sebuah program hiburan menyerlahkan keserasian mereka sehingga dilabel pasangan kekasih.


Post a Comment

Previous Post Next Post