Intan Najuwa tak pernah rasa diri diva


Bergandingan dengan aktor popular, Remy Ishak menerusi drama Kekasih Paksa Rela di TV3 yang berakhir pada Februari lalu, kelibat pelakon Intan Najuwa boleh dikatakan berjaya mencuri perhatian ramai khususnya pengikut drama tempatan.

Malah naskhah yang disiarkan menerusi slot Akasia itu juga berjaya mencipta fenomena sendiri yang mana ia telah menambat hati 11 juta penonton.

Justeru, tidak keterlaluan mengatakan Intan antara pelarut watak yang menjadi pilihan pengamal media dunia hiburan untuk mengetahui perjalanan kariernya yang semakin memuncak.

Malangnya, ketika sedang mengecap nama, timbul dakwaan bahawa pelakon muda berusia 21 tahun itu dikhabarkan sudah bersikap diva dan memilih.

Perkara itu tercetus selepas ada pihak yang juga orang dalam industri mendakwa Intan sudah mula memilih tajaan dan wartawan yang ingin menemu bualnya, selain memberi banyak alasan apabila ada pihak mahu menulis artikel tentangnya.

Tidak mahu terus menerus menjadi persoalan, Sensasi Bintang cuba mendapatkan reaksi dan komen daripada Intan.

“Sumpah tidak.

“Saya tidak pernah tanya dan minta tajaan pun. Semua memang Intan yang sediakan sendiri. Malah pernah juga dahulu pihak TV3 mahu menyediakan hotel tetapi Intan menolak,”ujarnya.

Mengulas lanjut, dia yang memegang watak sebagai Hanan Khaira iaitu isteri kedua kepada Remy dalam drama berkenaan menjelaskan dirinya juga adalah seorang yang tidak pernah cerewet.

“Sedih dengar khabar angin macam ini sebab Intan lah orang yang paling tidak kisah.

“Berilah apa pun, Intan akan buat, pakai dan tak pernah cerewet,” jelas anak kelahiran Johor Bahru itu.





Menjawab dakwaan mengenai dirinya memberi alasan ketika pihak media mahu menulis artikel tentangnya pula menjelaskan, setakat ini, dia menghadiri semua undangan temu bual.

“Pihak akhbar juga terus sahaja menelefon saya dan untuk majalah Nona, semua sudah selesai,” jelasnya.

Intan bagaimanapun tidak menolak kemungkinan dakwaan daripada pihak tersebut itu hanyalah salah faham.

Meneruskan bicara, Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid diajak berbicara pula mengenai kisah peribadinya.

Bukan apa, baru-baru ini, Intan ada memuat naik gambar bersama seorang jejaka yang tampan di Instagramnya.

“Itu teman lelaki saya dan dah lama kami kenal, sebelum Intan berlakon lagi.

“Perhubungan sejak zaman kolej dan sudah tiga tahun bercinta,” ungkapnya tanpa berselindung.

Tambah Intan, dia juga bersyukur kerana memiliki seorang teman lelaki yang memahami kerjayanya.

“Alhamdulillah, dia sangat memahami dan tidak pernah merungut, malah cool saja,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post