Awi Rafael, Atikah Suhaimie bernikah pada 15 Mac 2019


Awi Rafael selamat melangsungkan pertunangan dengan Atikah dalam satu majlis di Singapura.

Umum mengetahui, penyanyi Awi Rafael secara mengejut mengikat tali pertunangan dengan pelakon kontroversi, Atikah Suhaimie pada 17 Mac lalu.

Kalau tiada halangan dan jodoh antara dua figura itu kuat, mereka bakal disatukan tahun depan sebagai suami isteri.
Awi atau nama sebenarnya, Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, 32, cermat mengunci rahsia perkenalan dengan Atikah.

Ditemui pada sidang akhbar Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2) baru-baru ini, pelantun lagu Kalau Aku Kaya itu mendedahkan, hubungan dengan tunangnya itu mula serius sejak lima bulan lalu.

Lapan tahun berkenalan, Awi turut mendedahkan sudah mengenali Atikah ketika dirinya masih bergelar kekasih kepada Hanez Suraya. Yakin Atikah adalah jodohnya, lelaki tersebut ketika diwawancara sentiasa menguntum senyuman menandakan dirinya sedang bahagia.

Penyanyi yang juga komposer itu turut berkongsi keistimewaan Atikah sehingga bersedia membawa perkenalan kepada tahap lebih serius.

Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan kerjaya seni, Awi akan bertanding dengan 10 peserta lain dalam GGV2 bermula 31 Mac depan.

Selain itu, dia bakal muncul dengan album terbaharu berjudul Euphoria yang akan memuatkan lagu aprisiasi terhadap tunangnya itu, Rahasiaku.

KOSMO!: Awi, mungkin boleh kongsikan mengapa anda boleh bersetuju untuk menyertai GGV2?

AWI RAFAEL: Sebenarnya saya didekati oleh syarikat rakaman Warner Music untuk bertanding dalam program ini.

Bagi saya, tiada masalah untuk bertanding kerana sejak dahulu, saya memang menyanyikan lagu yang mempunyai mesej-mesej positif. Saya juga ingin mewakili muzik yang agak berbeza sedikit daripada sebelum ini.

Bercakap mengenai pendekatan dalam pertandingan ini, saya mungkin berkongsi muzik islamik atau kerohanian yang lebih moden dalam GGV2.

Barangkali ada peminat yang keliru apabila anda mula menyanyikan lagu kerohanian sehingga mengatakan anda sudah berhijrah, apa komen anda?

Saya masih menjadi diri sendiri. Apa yang paling penting, Islam bukan dihakimi melalui fizikal tetapi intinya (dalaman).

Tahun 2018 adalah tahun untuk saya menjadi manusia yang lebih baik dan saya akan mencuba perkara-perkara baharu yang menjurus ke arah kebaikan.

Saya berharap peminat akan terus menyokong. Saya juga akan muncul dengan album baharu berjudul Euphoria yang memuatkan lapan buah lagu.

Akan ada lagu yang diciptakan khas untuk tunang (Atikah)?

Ya, salah sebuah lagu yang saya cipta ketika dalam proses mengenali hati budi dia (Atikah). Lagu tersebut berjudul Rahasiaku. Selain itu saya berkolaborasi dengan penyanyi-penyanyi lain seperti Altimet dan Yasin.





Baiklah, bagaimana kehidupan selepas sudah bergelar tunangan orang?

Alhamdulillah. Saya gembira dan semuanya berada dalam keadaan yang baik.

Saya juga mendapat komen baik serta sokongan kuat daripada peminat. Seperti yang saya katakan tadi, 2018 adalah tahun saya melakukan kebaikan (hijrah).

Saya rasa lega kerana dia sudi menerima saya dan yakin, dialah jodoh saya.

Sebenarnya, sudah berapa lama anda mengenali Atikah?

Saya kenal dia lapan tahun lalu. Ketika itu, saya hanya menganggap dia sebagai adik dan dia pun rasanya anggap saya sebagai seorang abang.

Kami banyak berkomunikasi melalui telefon dan Alhamdulillah, segalanya seperti sudah diatur. Lima bulan lalu, hubungan kami menjadi lebih serius apabila saya meluahkan hasrat untuk bertunang.

Sama-sama berbincang dan merancang dan akhirnya, kami bertunang. Insya-Allah kami merancang untuk bernikah pada tarikh lahir Atikah iaitu 15 Mac tahun depan.

Bagaimanakah anda berjaya merahsiakan hubungan dengan Atikah tanpa dihidu media langsung?

Kami tidak mencampur-adukkan antara kerjaya dan hal peribadi. Ada juga yang bertanya, namun kami tidak mendedahkan apa-apa. Sejujurnya, sejak hubungan kami menjadi serius, keluar berdua pun hanya sekali, itu pun ditemani ibu saya.

Saya rasa sudah sampai waktunya untuk bergelar suami kerana usia pun bukan semakin muda. Insya-Allah, semoga segala urusan selepas ini dipermudahkan.

Post a Comment

Previous Post Next Post