Hani Fadzil Terap minat dalam kerjaya


Fenomena K-Pop bermula di Malaysia sejak bertahun-tahun lalu dan sehingga kini terus mencuri perhatian ramai peminat daripada pelbagai lapisan usia serta latar belakang.

Seorang daripada mereka adalah pengacara dan penyampai radio, Hani Fadzil yang sememangnya sentiasa mencari dan mendalami apa saja yang berkaitan K-Pop.

“Saya memang sentiasa fokus jika berbicara mengenai K-Pop sebab memang minat saya. Apa yang saya lihat, tak banyak platform bahasa Malaysia untuk informasi mengenai K-Pop.

“Jadi, saya ingin membawa diri ke satu lagi peringkat dan kongsikan apa yang saya tahu mengenai muzik dari Korea Selatan itu,” katanya.

Menurut personaliti berusia 27 tahun ini, minatnya sejak lebih 10 tahun lalu itu digunakan sebaik mungkin dan turut diterapkan dalam kerjanya.

“Dalam tempoh itu, saya belajar banyak perkara mengenai K-Pop dan Korea Selatan. Sekarang, saya sudah boleh menulis dan tahu beberapa tulisan Korea. Selain itu, saya mula belajar mengenai bahasa yang mereka gunakan.

“Saya mahu terus belajar dan kalau boleh nak jadi jurubahasa untuk mengalih bahasa sekiranya ada artis dari Korea Selatan yang datang ke Malaysia. Itu cabaran buat diri saya.

“Selain itu, sebagai penyampai di stesen radio Era, saya mengendalikan program Hallyu Era selama satu jam setiap Sabtu. Jadi, di situ banyak topik mengenai K-Pop yang saya angkat di samping carta lagu K-Pop terbaru,” katanya.

Diminta memberikan pendapat mengenai kecaman masyarakat terhadap peminat K-Pop tegar di Malaysia, Hani menganggap setiap orang ada minat tersendiri dan masing-masing ada perbezaan.

“Saya tahu, ramai yang mengecam peminat K-Pop. Saya juga sama seperti peminat lain dan bekerja keras untuk menjadikan minat itu sesuatu yang mendatangkan hasil.

“Saya pernah berkata kepada diri saya, satu hari nanti akan berada di pentas sama dengan artis K-Pop. Alhamdulillah, beberapa kali saya diberi peluang menjadi pengacara majlis untuk konsert K-Pop.





“Jadi, jangan biar orang jatuhkan kita kerana itu adalah minat kita,” katanya.

Selain itu, Hani juga menyimpan impian mengendalikan program TV khas untuk peminat K-Pop.

“Sekarang belum ada program TV dengan konsep sebegini. Kalau ada peluang, saya akan terima. Sementara itu, saya cari lagi pengetahuan baru.

“Selain itu, saya juga kini sedang menyediakan beberapa bahan kandungan berkaitan gaya hidup Korea Selatan dan muzik K-Pop serta akan buka saluran YouTube khas untuk mereka yang dahagakan bahan sebegitu,” katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Hani baru-baru ini diberi peluang mengendalikan program berskala besar, Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang berlangsung pada 28 Februari lalu.

“Satu pengalaman baru buat saya. Walaupun dihubungi pada saat akhir petang Rabu itu dan perlu hadir untuk mengacarakannya secara langsung pada jam 9 malam, saya berpuas hati,” katanya.

Hani atau nama sebenarnya Intan Farahani Mohd Fadzil menganggap itu sebagai rezeki buatnya dalam mengembangkan kerjaya pengacaraan.

“Terima kasih kepada penganjur TN50 yang memberi kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan acara besar itu,” katanya.

Hani juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan kata-kata semangat dan komen positif kepada hasil kerjanya.

“Sejujurnya, saya sendiri pun tak sempat nak rakam video atau ambil gambar. Tapi, sehari selepas acara itu berlangsung, saya tonton semula acara itu menerusi rakaman yang dikongsikan di Facebook.

“Rata-rata, ramai memberikan komen dan reaksi positif. Insya-Allah, mungkin akan ada rezeki seperti ini lagi buat saya. Pengalaman ini saya akan ingat sampai bila-bila,” katanya.

Hani juga berbangga dengan pencapaiannya memandangkan program itu ditayangkan secara langsung secara dalam talian dan disiarkan di beberapa saluran TV.

Post a Comment

Previous Post Next Post