Elyana Jodoh Kahwin Dua Atau Tiga Memang Sudah Tertulis Sejak Azali


Elyana berpendapat soal jodoh merupakan ketentuan takdir.

Penyanyi Elyana berpendapat soal jodoh merupakan sebahagian ketentuan dan takdir daripada Allah SWT yang tidak diketahui oleh mana-mana manusia.

Menurut Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal, 30, hal berkaitan jodoh sudah tertulis dalam hidup setiap manusia dan tiada siapa yang mampu menolaknya.

"Soal isu kahwin dua atau tiga ini memang dah tertulis. Sejak azali tentang pertemuan, rezeki semua ditangan tuhan. Kita manusia biasa tak boleh nak menidakkan jodoh walaupun mungkin kadang-kadang individu itu ada kesalahan.

"Kita nak marah, marahlah! tapi kita tak tahu situasi orang. Kita doakan yang baik-baik saja sebab kita pun tak tahu nasib kita," katanya menerusi siaran langsung di laman Instagram.

Tanpa menyebut nama mana-mana individu, Elyana menjawab persoalan seorang pengikut yang meninggalkan komen bertanyakan mengenai istilah 'menumpang kasih'.


Elyana berkata demikian menerusi siaran langsung di laman Instagram pada Sabtu.

Pertanyaan pengikutnya itu dilihat seolah-olah ditujukan kepada pelakon Izreen Azminda yang diketahui sedang berdepan dengan situasi berkenaan.

Sementara itu, penyanyi lagu Kalis Rindu ini berharap netizen mengawal emosi dan tidak memboikot individu yang terbabit dengan isu poligami itu.

"Kalau ikutkan isu begini memang rasa sakit hati dan nak marah tapi rasanya tak perlu sampai nak boikot begitu.

"Kalau kita bertindak kejam macam tu, kita pun tak ada beza dengan yang lain. Apa yang penting kita doa yang baik dan Insya-Allah hidup kita aman dan harmoni," ujarnya.

Pada Disember tahun lalu, Izreen menerusi laporan sebuah portal berita berkata dia tidak rela menghancurkan hati wanita lain namun takdir sudah tertulis apabila dia terpaksa berkongsi kasih seorang suami.






Elyana berharap masyarakat bijak mengawal emosi.

Pelakon drama Bukan Wanita Sempurna ini hanya ingin menumpang kasih dan tidak pernah sesekali berhasrat merampas serta meruntuhkan kebahagiaan isteri pertama.

Isu tersebut hangat diperkatakan semula apabila Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude dan isteri pertama iaitu Intan Liana Saleh hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi proses lafaz cerai yang sepatutnya berlangsung pada 28 Februari lalu.

Namun ia ditanggungkan pada 22 Mac depan selepas peguam mewakili Ude iaitu Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain memohon untuk menyelesaikan beberapa isu tuntutan selepas perceraian.

Ude, 30, memfailkan permohonan berkenaan terhadap Intan pada 30 November 2017 setelah lima tahun mendirikan rumah tangga.

Izreen mendedahkan sudah berkahwin dengan pemuzik bebas itu pada 8 Ogos 2017 secara tertutup dan ia dirahsiakan atas permintaan suaminya itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post