Anis dan suami, Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim berkahwin pada Julai tahun lalu.
Pelakon dan penyanyi Anis Al-Idrus mendedahkan dia dan suami, Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim masih belum berkesempatan untuk berbulan madu walaupun sudah lapan bulan berkahwin.
Anis atau Anis atau Sharifah Anis Syed Zainal berkata, kesibukan dengan aktiviti seni selain menguruskan perniagaan produk kecantikan miliknya menyebabkan perancangan itu terpaksa ditangguhkan.
"Jika diikutkan selepas berkahwin sehinggalah sekarang saya memang sibuk dengan pelbagai perkara sampai rasa tak terkejar semua benda.
"Perancangan kami nak berbulan madu diluar negara sentiasa tertangguh tetapi tidak mengapa jika ada rezeki nanti Insya-Allah kami pergi," katanya.
Anis ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikannya iaitu Anis Beauty Kit pada Sabtu.
Anis tampil dengan produk kecantikannya iaitu Anis Beauty Kit.
Anis dan Mohd Rafzan, 36, disatukan sebagai suami-isteri pada 7 Julai tahun lalu.
Dalam pada itu, Anis berkata, suaminya amat memahami kesibukan kariernya sebagai selebriti dan usahawan malah sentiasa memberikan sokongan kepadanya agar lebih maju.
Kata Anis, tanpa sokongan suaminya, dia mungkin tidak dapat melaksanakan semua tanggungjawab diberikan dengan baik.
"Sejak berkahwin saya memang sibuk dengan tiga program yang memperlihatkan saya sebagai pengacara iaitu Cerita Bintang musim pertama dan kedua selain sebuah program berjudul Sufiah musim kedua.
"Biarpun sibuk dia sentiasa faham malah banyak memberi semangat agar saya terus berusaha bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara," katanya.
Bercakap mengenai Anis Beauty Kit, Anis berkata, dia memperkenalkan pek mudah itu sebagai menampilkan kelainan kepada pelanggan dengan menawarkan bukan sahaja produk penjagaan dan kecantikan wajah malah hadir bersama beg solekan dan majalah mini.
Menariknya kata Anis, setiap bulan produk yang dijual adalah berbeza-beza bagi sebagai salah satu strategi dalam menarik pelanggan.
"Setiap bulan kita akan tampil dengan produk berbeza dan fokus kepada sesuatu bahagian pada wajah seperti kulit, bibir, mata dan sebagainya.
Suami penyokong utama Anis.
"Apa yang menariknya, setiap pembelian mereka akan dapat sebuah beg solekan dan majalah mini yang mempunyai info produk selain tip kecantikan.
Tambah Anis, bagi menampilkan kelainan dia memilih untuk menampilkan personaliti Instagram sebagai penghias muka depan majalah mini itu.
"Saya pilih Instafamous kerana mereka mempunyai pengikut tersendiri dan mereka sentiasa menjadi buruan peminat yang ingin mengetahui tentang diri mereka termasuk tentang solekan dan kecantikan.
"Jadi saya tampilkan mereka sebagai penghias muka depan majalah mini itu sebagai kelainan dan menarik perhatian pembeli," katanya.
Dalam perkembangan lain, Anis berkata, pada 16 Mac depan dia akan melancarkan single terbaharunya yang berjudul Tak Guna.