Ariff Bahran Kata Akhirmu mampu bersaing


Pertama kali mendengar lagu berjudul Kata Akhirmu dendangan penyanyi baru Ariff Bahran adalah menerusi drama bersiri Cinta Hati Batu.

Dalam hati tertanya-tanya mengenai penyanyi muda berusia 20 tahun ini. Telinga tertarik dengan melodi baladanya yang membuai.

Dihasilkan tiga komposer iaitu Sang Hitam, Rudy Kasmaran dan Jimmy Asmara, Kata Akhirmu seperti mengimbau zaman kegemilangan lagu berentak sebegini.

Apa yang mampu dikatakan, Kata Akhirmu yang dilancarkan pada pertengahan November lalu mungkin mampu bersaing sengit dengan lagu baru daripada genre sama.

Melodinya ada kekuatan tersendiri dan diserasikan dengan vokal Ariff yang mantap. Apabila diamati, vokal penyanyi ini mampu ‘menembak’ beberapa nada tinggi.

Dari segi lirik, Rudy Kasmaran dan Jimmy Asmara menterjemahkan kisah mengenai rayuan seorang lelaki kepada wanita yang tidak mahu menerimanya cintanya.

Namun, wanita itu terus dengan egonya dan berkeras untuk menolak cinta daripada lelaki terbabit. Itu membuatkan lelaki itu hanya mampu mengungkapkan kata-kata terakhir buatnya.

Menurut Ariff, balada adalah genre kegemarannya sejak dulu.

“Saya menggemari lagu berentak balada. Sebelum hadir dengan single pertama ini, saya juga banyak menghasilkan lagu cover dan kebanyakannya adalah balada,” katanya.

Sehingga kini, video muzik Kata Akhirmu yang dimuat naik ke YouTube pada 20 November lalu sudah ditonton lebih 5.5 juta kali.





KATA AKHIRMU

• PENYANYI: Ariff Bahran

• KOMPOSER: Sang Hitam, Rudy Kasmaran & Jimmy Asmara

• LIRIK: Rudy Kasmaran & Jimmy Asmara

• TERBITAN & EDARAN: Rusa Marketing Sdn Bhd


Post a Comment

Previous Post Next Post