Fathia Latiff Tolonglah padam


Enggan mengenang kesilapan lalu, Fathia Latiff meminta sesiapa yang pernah memuat naik rakaman video tariannya di aplikasi Bigo supaya memadamkan paparan itu.

Pelakon berusia 30 tahun itu mengakui ia menjadi pengajaran besar buat dirinya. Semuanya berpunca daripada kekhilafan diri.

Dia berharap video terbabit tidak disebarkan lagi dan dipadam demi kebaikan generasi akan datang.

“Saya sedar kesilapan lalu dan benar-benar mahu video itu dihapuskan daripada laman sosial terutama di YouTube.

“Saya tak mahu generasi akan datang menonton video terbabit. Kesilapan itu menjadi iktibar buat saya.

“Saya mohon kepada sesiapa yang ada memuat naik video live Bigo itu, tolonglah padam rakaman itu walau di mana platform sekali pun,”katanya.

Pelakon drama Menanti Februari itu mahu buka buku baru dan memperbaiki diri agar menjadi lebih positif.

Meskipun reda dengan segala ketentuan yang menimpa dirinya, Fathia tidak mahu kesilapan lalu menjadi penghalang untuknya menggapai impian dalam hidup.

“Saya melihat kesilapan itu sebagai satu titik perubahan dan tidak mahu ia berulang lagi.

“Buat apa saya meratap apa yang sudah tersurat. Kalau saya asyik fikirkan perkara itu, makin mundurlah saya nanti,” katanya.





Dalam pada itu, pelakon yang kerap dikecam hebat di media sosial itu meminta netizen agar menjaga tutur kata dalam setiap komen.

Fathia berkata, dia tidak faham mengapa ramai sanggup mengeluarkan kata-kata kesat sedangkan mereka boleh menegur dengan cara lebih berhemah.

“Saya terbuka menerima kritikan, bukan tidak boleh ditegur langung. Bagaimanapun, sangat mengecewakan apabila ada di antara mereka menggunakan bahasa kasar dan kurang adab.

“Mungkin cara begitu normal bagi mereka tetapi saya tidak sama sekali. Saya masih punya hati dan perasaan.

“Sedangkan keluarga, sahabat terdekat dan rakan artis pun boleh tegur dengan berhemah. Bukannya susah pun nak cakap elok-elok, kan?” katanya.

Semakin aktif menyanyikan lagu orang lain di YouTube, Fathia kini menghitung masa untuk bergelar penyanyi.

Single pertamanya hampir siap dan akan dilancarkan tidak lama lagi. Mendapat sentuhan DJ Fuzz, Fathia mengakui sangat teruja apabila impiannya bakat menjadi kenyataan.

“Akhirnya saya akan melancarkan lagu sendiri. Memang seronok kerana saya meminati bidang nyanyian.

“Bagaimanapun, tunggu pengumuman seterusnya untuk single ini. Saya sukakan melodinya dan berharap ia diterima baik pendengar,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post