Sarat hamil anak ketiga, selebriti popular, Yatt Hamzah mengakui melalui proses yang sangat mencabar.
Tambahan pula, selebriti berusia 38 tahun ini juga bakal melahirkan anak pada bila-bila masa sahaja.
"Alhamdulillah, usia kandungan kini dah 36 minggu iaitu sembilan bulan. Ini bermakna lagi sebulan lebih je lagi saya akan melahirkan. Ya ALLAH, cepatnya masa berjalan.
"Tapi setiap hari adalah sangat mencabar buat saya kerana kehamilan adalah suatu proses yang memenatkan dan menyakitkan," luahnya di Instagram (IG).
Pada masa sama, pelakon drama bersiri Baitul Rahmat ini juga perlu menguruskan keperluan dua anak kecil yang berusia setahun dan lapan tahun selain tanggungjawab sebagai isteri dan selebriti.
"Bukan senang jadi seorang ibu hamil sembilan bulan dengan seorang lagi bayi kecil setahun dan kakaknya nak masuk lapan tahun.
"Tiga anak nak kena handle setiap hari, belum lagi campur Abah depa, kerjaya business dan selebriti yang wajib menyantuni masyarakat setiap saat walaupun penat.
"Dalam keadaan ini, sukar untuk fokus di pejabat dan butik, menjaga bayi yang sedia ada, apatah lagi menguruskan kerja-kerja di rumah," tulisnya lagi.
Akibatnya, Yatt mengakui berasa tertekan sehingga tanpa sedar menangis sendiri.
"Memang kadang tu tak larat, mood swing, loya tekak, mual, sakit badan, masalah pencernaan, bengkak dan kejang kaki, patah pinggang, pening macam nak pecah kepala dan macam-macam lagi. Kadang-kadang, air mata keluar sendiri tanpa diundang," tulisnya.
Luahnya, keadaan menjadi semakin terbeban apabila suaminya, Mohammad Zulfadhli Khiruddin kini bertugas di luar negara dan semua urusan perlu dilakukan sendiri.
"Rasa tak pernah cukup rehat, nak-nak dah hampir due ni, dengan suami @ZUL.AUTKAZ pula tiada di sisi, berada di luar negara untuk lebih dua minggu. Memang letih sampai boleh rasa tertekan, nak pengsan pun ada, tu yang sampai menangis!," katanya.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Haryati Hamzah ini tetap meluahkan rasa syukurnya kerana masih diberi peluang untuk kembali hamil.
"Tapi tak apa saya tetap bersyukur. Sebab ALLAH masih berikan kudrat. Bukan senang nak dapat anak. Bila dah ada ni hargai dan syukuri nikmat yang tak semua orang dapat.
"Di luar sana sangat ramai yang masih berusaha nak dapatkan anak tapi ALLAH belum beri. Jadi janganlah banyak merungut. Layankan je apa yang di depan mata ni," katanya.
Jelasnya, setiap kesakitan yang dialami mempunyai hikmahnya bahkan doa setiap ibu hamil juga mustajab.
"Dan doa yang baik-baik, kerana setiap doa ibu hamil diangkat para Malaikat, dimakbulkan ALLAH. Setiap kesakitan ibu hamil, apatah lagi yang mengendong satu lagi bayi akan dibalas Syurga.
"Maka beruntongnya jadi ibu hamil. Beruntongnya ALLAH beri kita rasa sakit dan letih ini. ALHAMDULILLAH. TQ ALLAH," katanya.
Yatt turut menasihati suami di luar sana agar menghargai pengorbanan yang dilakukan si isteri.
"Mohon doakan saya dan ibu-ibu hamil yang lain agar sentiasa kuat dan tabah ya.
"Suami-suami, hargailah Isterimu kerana pengorbanan mereka luar biasa. ALLAH amat menjaga mereka kerana Isterimu terlalu istimewa.Maka berilah layanan yang istimewa kerana mereka lebih dari layak menerimanya," tulisnya.