Syazuwan mahu pelakon baharu turut diberikan peluang membawakan watak utama dalam sesebuah karya.
Pelakon Syazuwan Hassan berkata tidak salah jika bakat baharu turut diberi peluang memegang watak utama dalam drama atau filem.
Menurut Syazuwan, ia merupakan sebahagian proses pembelajaran bagi dirinya dan pelakon baharu lain untuk menjadi lebih baik.
"Saya akui ada cakap-cakap yang mempersoalkan mengenai bakat baharu diangkat menjadi hero dalam sesebuah drama.
Syazuwan mahu menerima lebih banyak ilmu daripada pelakon senior.
"Hakikatnya, untuk menjadi seorang pelakon berjaya, kita harus diberi peluang sebab kalau tak cuba kita tak tahu. Dah bagi peluang, tapi gagal juga tak boleh nak cakap apa lah," katanya.
Syazuwan ditemui semasa sidang media Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL 2018) di Nate Bistro, Subang, Selangor, baru-baru ini.
Pelakon berusia 27 tahun ini turut dilantik sebagai duta DFKL 2018 bersama seorang pengacara terkenal Pauline Tan.
Duta DFKL2018, Syazuwan dan Pauline Tan.
Sementara itu, Syazuwan berkata dia ada bertanyakan beberapa tip mengenai teknik lakonan daripada pelakon senior antaranya Remy Ishak.
"Remy Ishak antara pelakon hebat yang menjadi idola saya dan ada tanya beberapa perkara mengenai lakonan dan dia sangat membantu.
"Kalau ada yang tak kena, dia akan bagi idea. Peluang berlakon dengan senior ini saya gunakan sebaik-baiknya. Tak dapat ilmu banyak, sikit pun jadilah," katanya yang mengimpikan watak aksi.
Syazuwan sentiasa bertanya mengenai ilmu lakonan dengan senior.
Dalam pada itu, pelakon drama Lelaki Itu Pemilik Hatiku ini turut berpesan kepada bakat baharu lain untuk sentiasa memperbaiki diri dan tidak mensia-siakan peluang diberi.
"Sepanjang dua tahun bergelar pelakon, saya dipertemukan dengan mereka yang banyak membantu. Orang kata, jadi pelakon baharu ni jangan berat mulut bertanya.
"Saya masih ingat pesan seorang penerbit, katanya, kita bekerja dengan ramai orang dan yang penting adalah disiplin dan hormat menghormati," katanya.