Spring bakal adakan konsert 'reunion' bulan depan.
Selepas 15 tahun, kumpulan Spring kembali menghangatkan dunia hiburan tanah air menerusi sebuah persembahan yang akan berlangsung pada 9 Mac depan di Restoran D’Saji Titiwangsa, di sini.
Menurut vokalisnya, Ameng, perancangan untuk mengadakan persembahan bersama Spring sudah lama dirancang sejak tahun lepas namun kerana dia terikat dengan banyak komitmen membuatkan ia tertunda.
“Selepas dibebaskan hampir dua tahun lalu, ramai peminat bertanya masih wujudkan Spring dalam industri. Kami masih ada tetapi selepas saya di dalam penjara, ahli-ahli lain terpaksa membawa haluan sendiri.
“Jadi kesempatan ini adalah peluang terbaik untuk kami memenuhi permintaan peminat yang rindu menyaksikan persembahan Spring,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Konsert Kumpulan Spring sebentar tadi.
Persembahan yang akan bermula pada pukul 9 malam itu akan menyaksikan Spring membawa sebanyak 12 buah lagu popular kumpulan itu seperti Kerana Budi, Sejiwa, Sepi Tanpa Cinta, Pesanan Buat Kekasih, Bourgenvilla, Sampai Hati dan Butakah Cinta.
Harga tiket dijual pada harga serendah RM100 hingga RM300 untuk seorang.
Ia boleh dibeli di kaunter D’Saji Titiwangsa atau di talian 011-16950047 atau menerusi laman web dan pejabat MyTicket.Asia