Sayembara 
solo Shane Filan


Gemilang saat melihat keterujaan anak-anaknya memuja dan meminati kumpulan muzik kegilaan ramai masa kini seperti One Direction, Filan terfikir, bagaimanakah situasi yang akan berlaku jika mereka mengetahui bahawa bapanya juga pernah melalui fenomena sama suatu waktu dahulu.

Lima tahun lalu, ketika kumpulan One Direction memulakan konsert jelajah kedua mereka, Take Me Home Tour di The O2 Arena di England, Shane Filan hadir bersama dua anak kesayangannya, Nicole Rose Filan, 12, dan Patrick Michael Filan, 8.

Sama seperti penonton konsert lain, Nicole dan Patrick bersorak gembira saat melihat kumpulan pujaan mereka naik ke atas pentas.

Namun, tidak seperti 80,000 pemuja One Direction lain yang hadir pada konsert berkenaan, Nicole dan Patrick sedikit bertuah apabila tiga anggota One Direction iaitu Harry Styles, Niall Horan dan Liam Payne meluangkan sedikit masa bersama mereka di belakang pentas usai persembahan.

Ketika itu, Nicole dan Patrick diserang kaget dan tidak mampu meluahkan sebarang kata-kata.

“Jika diingat kembali situasi tersebut, saya sendiri berasa teruja apabila melihat anak-anak gembira berjumpa penyanyi pujaan mereka.

“Sedikit sebanyak, ia mengingatkan saya ketika masih bersama-sama Westlife hampir dua dekad lalu,” ujar Filan membuka bicara.

Tidak dinafikan, selepas berpecah pada tahun 2012, Filan kerap terkenang memori manis yang pernah dicipta ketika zaman mudanya bersama Westlife. Lebih-lebih lagi, apabila menyaksikan fenomena yang dicetuskan One Direction.

“Kalaulah anak-anak saya tahu yang Westlife dahulu pernah sebesar One Direction, mungkin mereka juga akan terkejut sebagaimana mereka berjumpa dengan Harry, Niall dan Liam.

“Lucu bukan apabila anak-anak sendiri tidak tahu apa yang ayah mereka pernah lalui,” ujar Filan sambil tersenyum.



Tiada reunion

Bercakap mengenai legasi yang ditinggalkan Westlife, Filan bersetuju bahawa kumpulan yang pada asalnya ditunjangi bersama oleh Nicky Byrne, Kian Egan, Mark Feehily dan Brian McFadden itu masih mekar di hati peminat.

Sementelah, jika mengikut trend semasa yang menyaksikan kebanyakan band bersatu selepas berpecah, Filan juga tidak mempunyai masalah untuk ke arah tersebut.

Cuma menurutnya, sekarang bukanlah masa yang bersesuaian untuk membuat kemunculan semula bersama Westlife.

“Kami melalui banyak hal bersama. Westlife berjaya sebagai sebuah kumpulan suatu ketika dahulu kerana keakraban hubungan kami dan rasa hormat yang tidak pernah lekang antara satu dengan lain.

“Buat masa ini, tiada perbincangan untuk mengadakan reunion. Namun jika ada peluang, saya mahukan sebuah reunion yang besar dan memberi impak kepada peminat serta khalayak sedunia.

“Hal ini kerana, saya mahu sebuah reunion yang akan meninggalkan kesan dalam hati peminat untuk selama-lamanya,” katanya yang menyifatkan sebuah reunion menuntut banyak waktu terutama untuk menghasilkan material baharu.

Ditanya, adakah dia masih berhubung dengan bekas ahli kumpulan Westlife yang lain, Filan menyifatkan hubungan mereka tidak pernah putus biarpun telah lama tidak bekerja secara bersama.

“Sebagai contoh, Mark ada menghubungi saya, bertanyakan tentang tiket persembahan solo saya di Singapura. Dalam pada itu, Nicky pula sempat meluangkan masa hadir ke persembahan saya di Dublin empat bulan lalu.

“Pelik juga apabila anggota Westlife menonton anggota lain membuat persembahan. Namun, itulah bukti kekuatan persahabatan kami,” katanya.



Saduran

Melanjutkan bicara, Filan yang singgah ke Kuala Lumpur bagi menjayakan promosi album studio ketiganya, Love Always kelolaan Universal Music Malaysia baru-baru ini, menaruh harapan yang tinggi terhadap buah tangan baharunya.

Menurut Filan, album tersebut mengandungi lagu-lagu popular yang dibikin semula mengikut cita rasa muziknya dan hasil cadangan daripada peminat.

“Memang niat asal saya untuk menghasilkan sebuah album penuh yang mengandungi lagu-lagu saduran.

“Menerusi album ini, saya rakam kembali lagu-lagu kegemaran saya seperti Heaven yang dipopularkan oleh Bryan Adams selain beberapa lagu cinta lain.

“Secara keseluruhan, Love Always begitu dekat dengan jiwa saya sebagai seorang penyanyi,” katanya.

Selain lagu Heaven yang ternyata menjadi kegemaran Filan, album Love Always turut mengandungi lagu-lagu popular lain seperti This I Promise You yang dinyanyikan *NSYNC, Don’t Dream It’s Over (Crowded House) dan Eternal Flame (The Bangles).

Album tersebut turut memuatkan empat karya asli iaitu Beautiful In White, Completely, Eyes Don’t Lie dan Crazy Over You.

Masih bercakap mengenai album, empat buah lagu tulisannya itu dimuatkan bersama lapan lagu saduran lain disebabkan keinginan untuk menulis lagu yang tidak pernah padam.

“Saya suka menulis lagu. Tidak lengkap rasanya jika album ini diterbitkan secara keseluruhan dengan lagu-lagu saduran.

“Tambahan pula, lagu baharu boleh dihantar ke radio untuk dimainkan. Pada pendapat saya, stesen radio tidak mahu memainkan lagu Heaven versi Shane Filan kalau mereka boleh memainkan versi Bryan Adams,” ungkapnya jujur.

Mengenai perancangan penghasilan album seterusnya, Filan berhasrat untuk mencuba sesuatu yang berlainan daripada biasa.

“Mungkin saya akan merakamkan album bergenre country atau swing untuk keluar daripada kepompong muzik sekarang. Namun, ia tidak bermaksud saya lari terus daripada acuan asal lagu-lagu yang pernah dinyanyikan.

“Jangan risau, saya tidak akan membuat muzik mirip seperti Ed Sheeran,” katanya menutup perbualan.

Masih tiada sebarang kata putus namun Shane Filan memberi bayangan bahawa tidak mustahil, suatu masa nanti kumpulan Westlife akan kembali bersatu mengubati kerinduan seluruh peminat.

Post a Comment

Previous Post Next Post