Menepati ramalan, lagu Jampi ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong dinobatkan sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Persembahan memukau Hael Husaini itu sekali gus melayakkan penyanyi itu membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM50,000 selain baucar produk CJ Wow Shop bernilai RM10,000.
AJL32 yang dipancarkan secara langsung menerusi TV3 juga menyaksikan lagu Sejati nyanyian Azmi Caliph Buskers meraih tempat kedua, sekali gus menerima hadiah wang tunai RM35,000, trofi dan baucer CJ Wow Shop.
Tempat ketiga pula dimenangi Tergantung Sepi nyanyian Haqiem Rusli, sementara Persembahan Terbaik diungguli Altimet.
Syamel dan Ernie Zakri turut mendapat perhatian di AJL32 apabila dinobatkan sebagai Vokal Terbaik.
Kemenangan tersebut membolehkan pasangan duet itu membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000, sementara Khai Bahar menerusi lagu Bayang merangkuk Anugerah Penyanyi Pilihan Samsung berdasarkan undian peminat.
Dikendalikan dua hos iaitu Aliff Satar dan Sherry Al-Hadad, acara tahunan edisi ke-32 itu turut diserikan dengan penampilan Datuk Jeffydin, Datuk A.Rahman Hassan, Datuk Awie dan Siti Sarah.