Selepas muncul dengan single sulung berjudul Setiaku Pasti tahun lalu, kakak kepada penyanyi Aiman Tino, Fara Hezel kini rancak mempromosikan single terbaru, Terasa Cinta yang turut berduet dengan Aiman sebagai penampilan khas.
Mengakui teruja dengan maklum balas yang diterima terhadap lagu berkenaan setakat ini, Fara atau nama lengkapnya, Nur Fara Azira Yusri memberitahu, reaksi positif pencinta muzik terhadap Terasa Cinta memberi semangat untuk dia memberikan yang terbaik pada masa depan.
Sehingga kini, muzik video lirik lagu tersebut sudah menerima hampir tiga juta tontonan sejak dimuat naik di YouTube tiga bulan lalu.
“Alhamdulillah, ramai yang gemarkan lagu tersebut walaupun pada peringkat awalnya ada isu sensasi melibatkan cara nyanyian Aiman. Apa pun, saya relaks dan cuba positif terhadap apa yang berlaku. Meski ada kritikan, namun ada juga yang gemarkan lagu ini. Itu pun sudah cukup membuatkan saya gembira,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Diajukan persoalan sama ada lagu berkenaan bertujuan menarik peminat Aiman sekali gus menumpang populariti adiknya itu, penyanyi berusia 22 itu menepis dakwaan berkenaan.
Katanya, masing-masing mempunyai kelompok peminat sendiri dan dia sebagai penyanyi yang lebih baru berbanding Aiman sebolehnya cuba bersikap realistik.
“Saya akui, Aiman lebih dikenali berbanding saya dan kami juga ada kelompok peminat tersendiri. Tiada istilah siapa tumpang populariti kerana kami merupakan adik-beradik. Sudah lumrah, akan ada yang membandingkan. Sebolehnya kami mahu berkarya, bersaing secara sihat. Tidak ada rasa cemburu. Saya pun percaya kepada rezeki,” jelas Fara optimis.
Dalam perkembangan lain, Fara juga sudah pun membayangkan bakal melancarkan single baru selepas ini.
“Lagunya sudah ada. Untuk single seterusnya, saya mahu kembali kepada muzik balada. Kiranya Terasa Ada lebih kepada pop, jadi lagu baru berentak balada pula. Kalau boleh saya mahu variasi cara nyanyian dan tidak mahu terikat kepada suatu genre semata-mata,” akhiri Fara yang turut mengharapkan penerimaan baik peminat terhadap single barunya itu.