Min gembira peminat di Manila sentiasa menyambutnya dengan baik.
Kurang popular di negara sendiri, penyanyi Min Yasmin akan terus berkarya dan melebarkan sayap di Manila, Filipina memandangkan penerimaan peminat di negara itu terhadapnya lebih baik.
Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, 29, berkata dia kini berulang-alik dari Malaysia ke Filipina disebabkan banyak menerima tawaran membuat persembahan negara tersebut.
"Sambutan di Manila membuatkan saya yakin untuk terus berkarya di sana. Mereka sangat mengujakan walaupun pada awalnya saya tak terbayang akan dikenali.
"Alhamdulillah mereka menerima saya dengan baik sejak saya melancarkan album dalam bahasa Tagalog pada tahun 2015.
"Sekarang ini pun saya berulang-alik sebab banyak menerima tawaran membuat persembahan di sana. Bukan hanya satu tempat tapi di bahagian Selatan juga," kata Min kepada mStar Online.
Min Yasmin mahu fokus kerjaya di Manila.
Penyanyi yang berasal dari Johor itu juga baru selesai mengadakan konsert sulung di Filipina baru-baru ini.
Tambah Min lagi, dia tidak ada masalah mengenai penerimaan lagu di Malaysia namun lebih memberi tumpuan mencipta kerjaya di Filipina.
Menurutnya lagi, biarpun begitu lagu-lagunya kerap menjadi pilihan untuk lagu tema drama dan filem di sini.
"Tentang penerimaan di Malaysia pula tak timbul sangat sebab memang buat masa ini saya hanya fokus utama kerjaya di Manila.
Min Yasmin.
"Tapi di Malaysia pun Alhamdulillah lagu-lagu saya selalu menjadi pilihan untuk lagu tema drama dan filem.
"Malah, dalam masa yang sama sedang siapkan album Melayu yang sudah 80 peratus siap," ujarnya.
Selepas kejayaan dua buah album kolaborasi bersama penyanyi Filipina, Nikki Bacolod, Min bakal tampil dengan album solo Filipina pertamanya berjudul Min Yasmin - Pangarap yang mengandungi 14 buah lagu.
Album yang melibatkan lima bahasa iaitu Tagalog, Tausug, Sama, Inggeris dan Melayu itu mendapat sentuhan komposer terkenal, Julfekar serta tiga orang komposer Filipina iaitu Raz Tawasil Itum (Tagalog), Nelson Dino (Tausug) dan Andhee Basion (Sama).
Dalam pada itu, Min meluahkan rasa teruja apabila bercerita tentang majlis pelancaran albumnya yang akan diadakan di Kelab Polo Manila, Filipina pada 22 Februari ini.
"Sekarang ini saya sedang giat membuat persiapan untuk majlis pelancaran dan dalam masa yang sama sibuk memenuhi beberapa tawaran persembahan.
"Saya sangat teruja dengan majlis pelancaran akan datang kerana bukan mudah untuk seorang penyanyi luar menembusi pasaran di sana.
"Setahu saya, tidak ramai artis luar yang betul-betul berpeluang tembus industri muzik di sana kerana artis mereka sendiri sangat berkualiti dan berbakat," katanya.