Mel (kiri) bukan membodek Aliff Syukri sebaliknya hanya mempertahankan majikannya itu.
Pembantu peribadi kepada Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Melati Abdul Ghani, 41, memberitahu video yang dimuat naik olehnya di laman Instagram bukanlah berniat untuk mengampu majikannya itu.
Menurut Melati atau dipanggil Mel dia hanya berkongsi perasaan kurang senang apabila ada yang mendakwa Aliff mengganggu punca rezeki pelakon di negara ini.
"Apabila ada orang tuduh Datuk kacau periuk nasi orang, itu yang saya buat video nak beritahu rezeki ni semua bukan orang itu yang tentukan.
"Saya peliklah, Datuk tak kacau orang pun, kenapa sampai tak puas hati dengan dia dan buat macam ini.
Mel dikecam teruk netizen kerana video mempertahankan Aliff Syukri.
"Itu sekadar luahan hati saya. Bukan nak mengampu bos atau apa-apa. Kita bercakap benda betul tapi netizen sendiri yang tak boleh terima kenyataan," katanya.
Menerusi rakaman video 60 saat tersebut, Mel mempersoalkan tindakan pelakon Amyza Aznan yang mendakwa Aliff menggunakan platform seni untuk memperluaskan empayar perniagaan.
Amyza menulis komen berkenaan pada status pengarah terkenal Shahrulezad Mohameddin bagi mengulas tentang tindakan Aliff Syukri yang melenting apabila lakonannya dalam filem Badang dikritik penonton.
Sementara itu, Mel berkata sebagai pekerja, dia sentiasa patuh kepada arahan dan akan memberi sokongan penuh kepada majikannya itu.
Mel sudah enam tahun bekerja dengan Aliff Syukri.
Malah, dia tidak kisah jika netizen terus menggelarnya sebagai pengampu atau kaki bodek.
"Tang mana saya jilat dan bodek tu? Saya hanya bekerja dan jalankan amanah sebaiknya. Kalau saya ni orang kaya, saya tak kerja. Baik saya duduk rumah jaga anak-anak.
"Jadi, saya sebagai pekerja semestinya akan berada di sisi dia ketika susah dan senang. Saya mohon jangan hina bos saya sedemikian rupa.
"Orang luar nak cakap apa pun cakaplah. Sebab kita tak boleh nak tutup mulut semua pihak. Tak semua orang suka kita," katanya yang sudah enam tahun bekerja di syarikat milik jutawan kosmetik itu.