Langkah berhati-hati Eka Sharif


Akur bukan mudah untuk mendapat ruang dan peluang bagi membuktikan bakat nyanyiannya, penyanyi baru Eka Sharif, 28, enggan mengambil jalan pintas.

Menurut gadis kelahiran Kuala Lumpur ini, biarlah masa menentukan dan dia juga tidak kisah jika kerjaya seninya bergerak perlahan.

“Semuanya bergantung kepada tuah dan nasib. Jika sudah rezeki saya, pasti akan dimiliki. Namun, sekiranya belum diperoleh mungkin saya kena terus cuba lagi.

“Bagaimanapun, saya akan pastikan tidak ambil jalan singkat hanya kerana mahu dikenali. Kalau boleh, saya tidak mahu dipalit gosip dan cerita sensasi.

“Saya tidak mahu ibu bapa bimbang dan tidak mempercayai saya lagi. Jadi, saya sangat berhati-hati. Walaupun saya mudah mesra dan gemar tampil ranggi ,tetapi maruah diri amat dijaga. Saya takkan cemarkan harga diri hanya kerana mahu popular dan dikenali ramai,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nur Atikah Shariffudin ini mempertaruhkan single solo keduanya, Separuh Jiwa ciptaan Razif atau Angah (Projector Band) dan lirik ditulis Puyu.

Eka ketika ditemui pada sesi fotografi berkata, dia begitu mengharapkan kerjaya nyanyiannya bersinar.

Berbicara mengenai single Separuh Jiwa, Eka yang mendapat jolokan ‘Ratu Smule’ berkata, dia sangat tertarik dengan melodi dan lirik lagu bergenre pop balada itu.



“Genre single Sepenuh Jiwa ini sebenarnya boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian vokal penyanyinya. Itu yang buat saya amat menyukai lagu ini.

“Bagaimanapun, saya harapkan ia akan mendapat peluang dimainkan di stesen radio dan berjaya menambat hati pendengar.

“Saya akui harapan terhadap single Sepenuh Jiwa ini agak tinggi, tetapi hanya mampu mencuba. Selebihnya, bergantung pada penilaian dan penerimaan pendengar. Kerjasama stesen radio juga diharapkan,” katanya.

Eka yang juga bekas peserta Akademi Fantasia 9 (AF9) berkata, jiwa­nya lebih sebati dengan menyanyi berbanding berlakon.

Katanya, menyanyi lebih menenangkan.




Serik cuba nasib sebagai pelakon

Mengulas mengenai bidang lakonan, Eka berkata, hatinya tidak terbuka untuk mencuba nasib sebagai pelakon lagi.

“Ia disebabkan satu insiden yang berlaku Julai tahun lalu. Hingga kini, semuanya masih segar di ingatan saya.

“Disebabkan tidak mendapat tawaran menyanyi selama tiga bulan, saya jadi buntu kerana tidak bekerja kerana sumber pendapatan terganggu.

“Jadi melalui maklumat seorang rakan, saya nekad menghadiri satu uji bakat lakonan. Malah, sewaktu di sesi uji bakat itu, saya berjumpa ramai pelakon terkenal yang datang mencuba nasib.

“Saya bertambah yakin produksi itu bukan yang baru bertapak dalam industri. Bahkan, saya gembira apabila dimaklumkan ada peluang berlakon dengan produksi itu,” katanya.

Namun, Eka berkata dia tidak boleh menerima syarat yang diberitahu oleh seorang kru daripada produksi itu supaya datang berhibur di sebuah pusat karaoke terkemuka di ibu kota jika inginkan tawaran disediakan.

Eka berkata enggan dirinya dipalit perkara tidak baik, dia akur tiada rezeki jadi pelakon.

Katanya, biarlah kini dia hanya aktif menyanyi saja.

Post a Comment

Previous Post Next Post