Alliza Abdullah Jangan tanya lagi


Mahu fokus dengan apa yang ada dalam genggaman, pelakon dan pelawak Alliza Abdullah tidak mahu lagi berbicara perihal kanser usus tahap dua yang pernah dihidapinya.

Selepas sihat sepenuhnya, wanita berusia 39 tahun itu enggan mengenang kembali derita yang pernah dilaluinya sebelum ini. Dia ingin membuka lembaran baru dan terus bekerja demi anaknya.

Reda dengan ketentuan Ilahi, dia yang mesra disapa Enot berharap ada sinar baru dalam kerjaya seni yang diceburi sejak 16 tahun lalu.

“Saya mahu terus pandang ke depan tanpa perlu menoleh ke belakang lagi. Allah Maha Kaya. Saya dilimpahi rezeki walaupun kerjaya lakonan agak perlahan.

“Kesakitan yang saya alami sebelum ini sudah berakhir. Jangan tanya lagi. Saya berharap, keindahan yang saya rasai ini akan berterusan,” katanya.

Selepas mendedahkan keadaan kesihatannya pada 2014, ada segelintir individu yang melabel Enot sebagai penipu. Mereka melemparkan tohmahan kononnya Enot hanya berpura-pura bagi meraih simpati.

Ibu tunggal itu terus cekal mencari rezeki demi membesarkan dua anaknya, Andriana Balqis, 16, dan Ariana Qaseh Qistina, 10.

Walau apa pun pandangan masyarakat sekeliling, Enot tidak pernah terfikir untuk memberikan nombor akaun kepada mana-mana pihak untuk meminta sumbangan derma.





“Tiga tahun lalu saya melalui ujian getir. Bukan hanya tahap kesihatan kurang baik, tetapi emosi turut terjejas apabila ada pihak menuduh saya menipu.

“Anak turut terkena tempias. Mereka pergi sekolah dengan menanggung malu kerana nama saya terus diburukkan. Namun, saya tangani semua masalah itu sendirian.

“Ada yang tanya, kenapa tidak minta bantuan? Saya sedar masih ada yang jauh lebih susah daripada saya. Selagi saya boleh berdiri dan bekerja, saya tidak akan minta bantuan dan simpati,” tegasnya.

Segala apa yang dilalui itu mengajar Enot banyak pekara dalam hidup. Malahan, dia mula nampak dengan jelas siapa kawan dan lawan.

“Saya kini lebih berhati-hati dalam memilih kawan. Saya lebih banyak duduk di rumah dan berkawan dengan anak. Apa pun, saya gembira dan bersyukur kerana Didie Alias tidak pernah melupakan saya,” katanya.


Post a Comment

Previous Post Next Post