Hafiz Suip pilih 
konsep ketuhanan


Meluahkan kesyukuran atas kelahiran cahaya mata pertama, pelantun lagu Muara Hati, Hafiz Suip menzahirkan segala perasaan bahagianya menerusi sebuah majlis akikah dan cukur jambu Muhammad Riyadh Zafri.

Acara yang berlangsung meriah pada Sabtu lalu turut dihadiri lebih 200 tetamu, terdiri daripada keluarga dan kenalan terdekat Hafiz dan isteri, Nureffy Jasreel Abdullah.

Berterima kasih kepada permaisuri hatinya yang banyak meluangkan waktu untuk membuat persiapan, Hafiz memberitahu, dia menaruh harapan agar zuriat pertamanya akan dihantar untuk mendapat pendidikan di sebuah sekolah tahfiz.

Meskipun masih terlalu awal untuk membuat keputusan memandangkan bayinya baru berusia dua bulan selepas dilahirkan pada 31 Disember 2017, penyanyi berusia 28 tahun itu tetap berhasrat anaknya mendapat pendedahan awal dengan menghadiri kelas pendidikan formal khusus dalam mendalami ilmu agama sekitar usia dua atau tiga tahun.

“Insya-Allah, semahunya saya ingin dia mendapat pendidikan di sekolah tahfiz dan mampu seimbangkan hal duniawi dan ukhrawi selain mampu berdikari.

Sebagai ibu bapa, pastinya kami mengharapkan yang terbaik buatnya hingga dewasa kelak,” tutur Hafiz dalam nada gembira.

Kongsi Hafiz lagi, pengalaman bangun sekitar pukul 3 atau 4 pagi untuk memberikan anaknya susu dan menukar lampin, secara tidak langsung mendidiknya tentang erti kesabaran.

“Awalnya saya berasa terkejut dan tidak biasa dengan hal sebegitu tetapi setelah hampir dua bulan, segalanya sudah menjadi rutin harian,” seloroh Hafiz sambil melepaskan ketawa kecil.





Jiwa rohani

Selain bercerita perihal perancangan masa depan anaknya, Hafiz turut menyuarakan perancangannya untuk membikin sebuah single baharu dalam tempoh terdekat.

Kongsi Hafiz, lagu baharunya akan lebih berkonsepkan ketuhanan selain mempunyai mesej positif yang menggalakkan khalayak ke arah kebaikan.

Bukan bermaksud untuk mengubah haluan muzik daripada kontemporari ke arah ketuhanan, pemilik nama Mohd. Hafiz Mohd. Suip itu sekadar ingin mengimbangi aktiviti hiburan dengan kerohanian, sekali gus menepis sentimen negatif terhadap industri seni.

“Bukan mengatakan diri ini alim ulama tetapi saya hanya ingin berkongsi ilmu dan berusaha memberikan mesej untuk manfaat bersama.

“Selain menyampaikan mesej positif, saya menganggap perkara seperti ini sebagai saham akhirat,” kata Hafiz yang sempat mengakui kerap menghadiri kuliah agama sejak akhir-akhir ini.

Berusaha mengekalkan genre balada, lagu tersebut bagaimanapun masih dalam peringkat pembikinan selain menaruh harapan agar berpeluang menjalinkan kolaborasi dengan seorang komposer bernama Kautsar.

Tertarik dengan lagu berjudul Tak Selalu Indah, Hafiz mengharapkan agar single baharunya kelak mendapat sentuhan kautsar, sekali gus memberi kelainan buat peminat.

Post a Comment

Previous Post Next Post