Dek kerana memiliki raut wajah yang menggoda dan tubuh idaman wanita, pelakon dan penyanyi, Kilafairy seringkali menjadi tumpuan ramai.
Malah, kerana itu juga perjalanan karier gadis cantik berusia 26 tahun itu dilihat terisi dengan kecaman dan kritikan masyarakat.
Jika sebelum ini, anak kepada penyanyi popular Rohana Jalil ini pernah dikritik kerana memakai pakaian yang ketat hingga menampakkan bentuk badannya.
Kini sekali lagi nama Kilafairy menerima kecaman gara-gara menari dalam video klip single terbarunya berjudul Put The Word In.
Pelbagai kritikan dilemparkan sebahagian netizen kepada Kilafairy termasuk menyamakan gadis itu seperti penari tiang, selain mendakwa gadis itu menari dengan ghairah.
Sensasi Bintang cuba mendapatkan reaksi dan komen mengenai kritikan itu daripada mulut wanita yang pernah membintangi filem Karak dan ini jawapan yang diberikan.
“Sebenarnya, saya dan juga pihak pengurusan, Lion Music Group serta Paranormal banyak meneliti cara tarian sebelum kita menyiapkan koreografi.
“Saya masih lagi orang Malaysia, takkanlah saya nak menari dengan ghairah. Memang kurang masuk akal,” jelasnya.
Put The Word In merupakan hasil ciptaan Bryan B, Radio3000, DJ Aku Ash dan Kenny Hughes.
Menerusi single berkenaan, Kilafairy tampil berduet dengan bintang antarabangsa, Sean dan DJ Aku Ash.
Mengulas lanjut, Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisha Jangir Khan menepis segala kritikan negatif yang dilemparkan kepadanya, malah menjelaskan mengapa dirinya menari sedemikian.
“Kita cuba sedaya upaya untuk menampilkan groove atau dalam erti kata lain ialah pergerakan lagu itu melalui tarian. Itu saja.
“Yang lain, Kila rasa mungkin persepsi negatif sesetengah pihak saja,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Setia itu turut menerbangkan harapannya terhadap single tersebut.
“Kita sudah cuba yang terbaik. Kila harap orang ramai lebih melihat inisiatif Kila dan pihak label untuk menunjukkan bakat orang Malaysia ke persada dunia daripada mengutuk segala inisiatif kami.
“Bagaimanapun, semua komen dan cadangan kita terima dengan hati yang terbuka untuk memperbaiki lagi pada masa hadapan,” ujarnya yang berharap pendengar dan peminatnya terhibur dengan single berkenaan serta terus menyokongnya.