Kapasiti selektif Beto Kusyairy


Berdekad mempersembahkan kerja lakon, menyampaikan isi cerita sebagai tatapan khalayak, sampai waktunya aktor bernama Beto Kusyairy seperti membentak melontarkan suara akal yang sudah tidak sanggup lagi ditelan sendiri.

Sebagai luahan apa yang bermain dalam kepalanya, menerusi salah satu status yang dimuat naik menerusi Twitter tidak lama dahulu, aktor Bisik Pada Langit itu mencetuskan suatu persoalan berhubung pengisian drama-drama tempatan yang tidak habis-habis membawakan kisah cinta berlainan taraf atau kahwin paksa demi perniagaan.

Dia turut bertanya, sampai bila penerbitan drama tempatan akan berada pada takuk sama dan adakah itu yang sebenarnya dimahukan majoriti penonton.

Melihat daripada kapasiti pelakon yang barangkali muak dengan tawaran serupa, pendapat Beto ada logiknya. Dalam tempoh sekitar sebulan lalu, sebenarnya secara serentak dia didatangi tidak kurang daripada lima skrip yang memaparkan jalan cerita hampir sama.

“Apa yang berbeza sekadar nama watak, yang lain hampir serupa. Itu yang saya jadi beremosi, marah, kecewa dan sedih yang bercampur-baur. Bagaimanapun saya tidak secara khususnya tembak atau menyelar sebarang drama yang sedang ditayangkan di kaca televisyen buat masa ini.

“Kadang-kadang, ada pelakon terima tawaran sebab terpaksa buat kerana tawaran begitu sahaja yang ada. Mereka ada mulut yang kena disuap dan ada bil yang harus dibayar. Ada juga pelakon yang suatu ketika dahulu cukup selektif tentang naskhah, tetapi sampai suatu masa, tawaran begitu juga perlu dihadam. Mahu atau tidak, ada pelakon terpaksa terima walaupun melanggar prinsip di dada,” jelas pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2015 menerusi filem Gila Baby itu.

Melihat pengisian karya tempatan dalam konteks telefilem atau drama bersiri agak terkebelakang berbanding produksi negara jiran, Beto tidak menyalahkan khalayak mahupun mana-mana pihak secara khusus. Dia hanya mahu mencetuskan pertanyaan, kepada penonton, pembikin atau stesen televisyenkah yang terlalu mengikut trend?

Baginya semua pihak memainkan peranan. Penonton tidak boleh dipersalahkan kerana golongan tersebut tidak tahu proses penggambaran atau prosedur pembikinan. Jadi pihak pertama yang biasa orang persalahkan adalah pengarah, kemudian barulah skrip.

“Namun bagi saya, perkara ini tidak jatuh atas bahu seseorang. Nombor satu adalah stesen televisyen itu sendiri,” ujarnya berani.

Tanpa bimbang luahan-luahannya membikin segelintir pengarah terkilan atau berkecil hati juga dengan mudah menyifatkan dirinya terlalu cerewet atau selektif, Beto berpegang kuat kepada prinsip.

“Kalau mereka berfikiran begitu, jadinya warna industri drama tempatan tidak akan berubah,” pemilik nama sebenar Nurkusyairy Zakuan Osman itu mengukuhkan pendapat.

Secara dasarnya senario ‘drama klise’ tidak akan berubah secara drastik sebaliknya ia berevolusi. Jika dimulakan sekarang, kesannya mungkin boleh dilihat dalam tiga atau lima mendatang.

“Kalau penonton asyik disogokkan dengan makanan ringan, jadi yang disuap akan dirasa sedap. Sebagai orang seni, apa kata kita suapkan benda berkhasiat pula. Namun momentum kena ada. Ia harus berterusan supaya penonton belajar untuk terima khasiat tersebut,” katanya.

Mujurlah selama menjadi ‘hamba seni’, Beto yang mengakui tidak tahu melakukan pekerjaan lain kecuali lakonan menyifatkan masih mampu membuat pilihan sama hendak menelan makanan berzat atau ringan.

“Saya tidak nafikan mungkin sampai suatu masa nanti, saya terpaksa makan apa yang tidak gemar demi keperluan hidup. Namun, buat masa sekarang saya masih bertuah kerana mampu pilih projek yang dirasakan membawa sesuatu untuk diketengahkan kepada khalayak.

“Saya akan cuba selagi terdaya kerana percaya, sebagai pelakon saya ada tanggungjawab yang lebih daripada sekadar berlakon untuk duit tetapi sebagai penyampai cerita dan teladan,” jelasnya.

Pada awal kemunculannya dahulu, Beto juga pernah melakukan ‘kerja’ yang tidak patut dilakukan. Namun kerja tersebut dilakukan atas dasar masih dalam fasa perkembangan untuk lebih menghargai kerja lakonan dan lebih bertanggungjawab dengan naskhah yang dijayakan.

Oleh sebab itu, kualiti harus menjadi tunjang pembikinan sesebuah karya dan perkara itu bukan sahaja tentang kereta mewah atau banglo besar dalam visual paparan tetapi lebih penting adalah pengisian cerita yang tidak mengarut atau memualkan.



Kicau fikir

Mendapatkan pencerahan tentang maksud naskhah berkualiti, pemahaman Beto cukup mudah.

“Ia tidak bermakna harus deep (berat) atau ada subteks berlapis-lapis, ada metafora atau bawa maksud tersirat.

“Produk televisyen boleh dibuat secara santai tetapi biar ada sesuatu yang hendak disampaikan kepada masyarakat. Filem pula berbeza.

“Jika matlamat itu tidak disokong produksi, penulis skrip dan pelakon, ia tetap tidak menjadi,” ujarnya separuh berceramah.

Mengajak khalayak bersama-sama berfikir tentang kitaran permasalahan yang berlaku itulah punca tercetusnya banyak ‘kicau fikir’ Beto di media sosial.

Sekali lagi dia bertegas, tugasnya sekadar mencetuskan kesedaran, sama ada isi drama sekarang apa yang diminta penonton atau hanya itu yang dibekalkan penyiar.

“Saya harap stesen televisyen fikir benda sama dan cuba buat anjakan.

“Bagi saya, pilihan untuk mempelbagaikan akan mewujudkan kepelbagaian pilihan,” katanya seperti penat memikirkan perkara yang tidak mudah diselesaikan tersebut.

Sebenarnya, bukan Beto seorang yang terfikirkan soal kandungan mual kebanyakan naskhah drama tempatan.

Ramai lagi pelakon searas dengannya pernah menyuarakan pendapat serupa. Tanpa perlu menyebut nama, kebanyakan cetusan atau kritik bertujuan memperbaiki industri tersebut hanya bertebaran di Twitter dan menjadi dialog sebabak bersama netizen.



Mat Motor

Digelar sebagai antara aktor serius dan ‘mahal’ memasarkan kisah murahan, lelaki yang baru genap 38 tahun Isnin lalu itu juga ada banyak sisi kelakar. Sikap cerianya mungkin tidak diketahui semua orang.

Selain meminati sukan lasak seperti bungee jumping, flying fox dan paraligding, Beto turut meminati aktiviti permotoran sejak memiliki motosikal kuasa besar, beberapa tahun lalu.

Kehadiran Beto semasa pelancaran Wings Motor Gengs Society yang berlangsung di Tadom Hill Resort baru-baru ini juga membuktikan betapa kental semangat mat motor yang menderu sepanjang urat jiwanya.

Lebih menarik, penyertaan dalam geng mat motor kuasa besar tersebut dipacu oleh legenda rock yang beraja di hatinya, Wings.

“Pada asalnya, saya peminat Wings. Saya membesar dengan lagu-lagu mereka. Jadi, saya jadi rapat dengan mereka sejak berlakon bersama Datuk Awie semasa teater Takhta 3 Ratu di Istana Budaya, kira-kira tiga tahun lalu,” jelas Beto yang dikenali sebagai Boobet dalam geng tersebut.

Bercakap tentang perkembangan karier, Beto baru selesai menjayakan sebuah telefilem berjudul Esok Untuk Kita yang menjalani penggambaran di Kuantan, Pahang.

Dalam drama terbitan Kembara Sufi Sdn. Bhd. tersebut, Beto melakonkan watak lelaki berkeluarga yang berdepan konflik apabila terpaksa menjalani hidup berpoligami atas permintaan isterinya.

“Saya memegang watak Hisham. Dia mempunyai isteri bernama Zulia dan seorang anak perempuan bernama Naomi. Hidup bahagia sampailah suatu hari isterinya disahkan menghidap kanser rahim tahap dua.

Disebabkan itu, Zulia (Uqasha Senrose) meminta Hisyam menikahi sahabat baiknya, Khalisha lakonan Sara Ali kerana berasa hidupnya tak akan bertahan lama.

Dia tidak pernah terfikir tentang hidup poligami.

“Hidup poligami itu hanyalah satu sebab, namun secara dalamnya drama ini cuba bercakap tentang ketentuan hidup, mati, jodoh itu kerja Tuhan bukan urusan manusia,” tutup Beto tentang naskhah sentuhan Aizma Aizal Yusoof atau Isma tersebut.

Kini Beto sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri terbaharu mengambil masa 45 hari terbitan Skop Production berjudul KL Gangster Underworld.

Post a Comment

Previous Post Next Post