Menggalas tanggungjawab sebagai teraju utama drama Papa Nak Menantu, pelakon baru yang bakatnya dicungkil menerusi Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL2016), Jaja Iliyes lega kerana lakonannya diterima baik.
Bagaimanapun, Jaja Iliyes bukanlah individu yang mudah berpuas hati. Menonton kembali hasil kerjanya, Jaja berasakan banyak teknik lakonan yang perlu diasah dan diperbaiki.
“Walaupun mendapat maklum balas positif penonton, saya nampak ada yang kurang. Saya tahu, masih banyak ruang untuk kembangkan lagi watak itu. Teknik lakonan juga perlu diperbaiki.
“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada mereka yang memberikan sokongan dan kata-kata semangat. Ada juga yang memberikan komen negatif, tetapi saya abaikan saja,” katanya.
Pemilik nama sebenar Siti Hajar itu pada awalnya berdebar menantikan reaksi daripada penonton. Apatah lagi dia bergandingan dengan pelakon veteran seperti Aman Graseka dan aktor senior iaitu Hafidz Roshdi.
Namun, wanita kelahiran Segamat, Johor ini rasa bertuah dan seronok kerana berpeluang berlakon dengan mereka. Ini kerana dia dapat menimba ilmu daripada pelakon lebih berpengalaman.
Kongsinya lagi, dia agak janggal melakonkan babak bercinta dengan Hafidz, namun sikap profesional pelakon itu membuatkan semuanya berjalan lancar.
“Saya dan Hafidz berkawan. Apabila perlu bercinta dengannya dalam drama itu, memang rasa kekok. Dia mengajar saya cara untuk lebih menjiwai watak.
“Papa Nak Menantu bukan terlalu menjurus pada kisah cinta. Ia lebih memaparkan hubungan kekeluargaan iaitu antara anak dan bapa. Setiap bapa pasti mahu melihat anaknya berkawin dengan lelaki yang baik,” katanya.
Hampir tiga tahun dalam industri seni, Jaja bersyukur karier seninya semakin lancar. Kini, dia rancak menjalani penggambaran drama Teratai Kemboja dan berguru dengan sutradara Along Kamaludin.
Menyifatkan pengarah itu sangat tegas dan garang, Jaja bagaimanapun tidak kisah kerana menganggapnya sebagai proses pembelajaran.
“Aura Along sebagai pengarah sangat kuat. Hari pertama saya datang lokasi saya memang gemuruh. Ada jugalah kena marah ketika penggambaran, tetapi saya tidak pernah ambil hati.
“Saya boleh terima dia marah untuk kebaikan. Dia mahu lakonan saya capai piawaian yang diharapkan.
“Sebagaimana dia inginkan yang terbaik untuk drama arahannya, saya juga buat sehabis daya,” katanya.