Elizabeth Tan Akui sedang mengenali seseorang


Sebaik sahaja menghulurkan tangan untuk bersalam, pemilik nama sebenar Elizabeth Tan Su Mei seraya menyambutnya diiringi dengan senyuman.

Tanpa berlengah, penyanyi dan pelakon jelita itu mengambil posisi yang tepat sambil menadahkan wajahnya tanda telah bersedia untuk disolek oleh jurusolek Nurul.

Tiada permintaan pelik mahupun berlagak diva, dia yang lebih mesra dengan panggilan Lizzy hanya sabar menunggu hingga wajahnya selesai disolek.

Namun, sedang penulis khusyuk menanti hasil solekan jurusolek terkenal itu, Nurul mula melontarkan butir kata memecah bicara.

“Awak nak tahu Lizzy, suami saya pula yang teruja apabila mendapat tahu saya akan menyolek awak untuk sesi fotografi hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, dengan pantas Lizzy memohon maaf, barangkali pelantun lagu Knock-Knock itu berasa serba salah terhadap Nurul sehingga perbualan tersebut mengundang hilai tawa pada semua orang yang berada di Studio Utusan pada sesi fotografi petang Khamis itu.

Memang tidak dinafikan gadis berketurunan Cina ini memiliki pesona tersendiri yang mampu sahaja menjampi mata-mata memandang.



Sekadar kawan

Justeru, saat menyambung bicara, soalan tentang hati terus menjadi topik utama.

Bukan apa, mahu juga mengetahui adakah si cantik ini sudah mula menjauh hati akibat gagal dalam sebuah percintaan bersama jejaka Melayu pada tahun lalu.

Bagaimanapun, tanpa berselindung, Lizzy berterus terang dan mengakui dirinya kini sedang mengenali seseorang.

“Ya, kini saya ada mengenali seseorang. Sebenarnya, hampir dua tahun kami kenal tetapi tidak pernah bertegur sapa antara satu sama lain.

“Cuma sejak kebelakangan ini sahaja kami berkomunikasi dan rapat,” jelasnya hubungan itu rapat dek kerana sering bertukar-tukar pendapat mengenai filosofi bersama lelaki berkenaan menerusi laman sosial.

Bagaimanapun, cepat-cepat gadis yang obses dengan barangan rumah itu menjelaskan perkenalan tersebut bukanlah bererti dirinya dan jejaka itu ke fasa bercinta.

“Saya anggap hubungan ini hanyalah sekadar sebuah persahabatan. Lagipun kami lebih memberi tumpuan terhadap bidang karier masing-masing,” ujarnya lelaki yang dikenali itu sebangsa dengannya dan tinggal di luar negara dek tuntutan kerja.

Menyambung bicara, Lizzy yang mengalami banyak kemelut dalam hidup termasuk gagal dalam percintaan mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati dalam memilih pasangan cinta.

“Pengalaman lalu menjadikan saya lebih berhati-hati. Saya mahu mencari seorang pasangan hidup yang sedar kekurangan dan kelebihan diri serta mencuba untuk memperbaiki diri,” ceritanya lagi.

Pada masa sama, dia yang pernah membintangi drama berjudul My Darling Inspektor Daniel memberitahu, dia tidak meletakkan had umur untuk menamatkan zaman bujangnya.

Sekiranya sudah ada jodoh yang terbaik, dia akan menuju ke fasa perkahwinan.



Fokus kerjaya

Ironinya, tahun baharu pasti dikaitkan dengan azam baharu. Begitu juga dengan artis jelita ini.

Meletakkan tahun 2018 sebagai tahun baharu untuk dirinya menjadi lebih baik daripada segala aspek termasuk kehidupan dan memberi komitmen sepenuhnya terhadap kerjaya sebagai anak seni.

“Beberapa bulan tanpa aktiviti seni, saya mempelajari banyak tentang kehidupan, agama, sejarah, filosofi dan diri sendiri. Sepanjang tempoh itu, saya tahu lebih banyak pasal diri ini.

“Jika sebelum ini, saya hanya memegang pada go with the flow tetapi tahun ini saya mahu merencanakan sesuatu yang terbaik untuk masa depan karier saya sebagai penyanyi dan pelakon,” jelas anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Sebelum menerjah soalan seterusnya, Lizzy sempat berkongsi serba sedikit mengenai perkembangan dirinya.

“Saya baru sahaja menandatangani kontrak secara rasmi selama tiga tahun dengan Warner Music baru-baru ini. Dalam tempoh berkenaan, pihaknya ada membuat perancangan untuk mengeluarkan album untuk saya.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu memberikan penjelasan lanjut memandangkan liriknya pun masih lagi sedang ditulis,” jelasnya yang juga akan bekerjasama dengan syarikat Skop Production Sdn. Bhd. untuk sebuah filem yang bakal ditayangkan tahun hadapan.

Tahun Baru Cina
Lizzy memberitahu, setiap tahun sambutan Tahun Baru Cina sama sahaja baginya iaitu berkumpul dengan seluruh ahli keluarga di Kuala Lumpur dan menikmati makan besar.

“Keluarga kami mempunyai satu tradisi yang mana akan menikmati steamboat pada malam perayaan.

“Keesokan harinya pula kami akan bermain boling,” ceritanya dengan mendedahkan, mereka akan melakukan aktiviti berdasarkan jadual aktiviti yang telah dirancang.

Tambahnya, dia mempunyai sebuah keluarga besar yang mana bapanya mempunyai 12 beradik, manakala ibunya ada sembilan beradik.

“Walapun ada keluarga besar tetapi kami jarang berjumpa.

“Justeru, kami mengambil kesempatan untuk berjumpa dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain pada sambutan Tahun Baru Cina,” jelasnya yang masih lagi menerima angpau daripada sanak saudara.

Post a Comment

Previous Post Next Post