Bermula dengan cakap-cakap kosong untuk berduet bersama dalam sebuah karya muzik yang diluahkan pada acara Anugerah Planet Muzik 2015 (APM) di Singapura beberapa tahun sudah, impian dua penyanyi berbakat, Aisyah Aziz dan Rizky Febian untuk mencantumkan listrik vokal akhirnya dimeterai menerusi single berjudul Indah Pada Waktunya.
Sudah dibentang kepada pendengar di Indonesia dan mendapat respons baik, kini tiba giliran lagu nyanyian dan ciptaan asal Rudi Pohang tersebut menyusul masuk di Malaysia.
Bertemu dengan Kosmo! dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan Melayu baru-baru ini, dua figura muda itu bercerita lanjut mengenai kerjasama rasmi sulung tersebut. Mereka turut menyingkap perjalanan kerjaya muzik masing-masing yang semakin harum hari demi hari.
Aisyah atau nama sebenarnya, Nur Aishah Aziz, 24, membuka perbualan dengan mengatakan bahawa dia amat mengagumi bakat nyanyian dan muzik Rizky. Justeru, berpeluang bekerja dengan lelaki itu disifatkan wanita kelahiran republik Singapura itu sebagai suatu perkara yang harus digenggam erat dan tidak disia-siakan.
“Seronok bekerja dengan Rizky kerana selain merakamkan lagu bersamanya, untuk tujuan promosi lagu, kami turut berlakon sama dalam sebuah siri web enam episod berdurasi kurang lebih 10 minit setiap satu.
“Saya tidaklah pandai berlakon namun bekerja dengan Rizky segalanya menjadi mudah. Tambah lagi, dia seorang yang tenang dan pada masa yang sama, kelakar. Tidak sangka perbualan yang berlaku pada APM tahun 2015 kini menjadi kenyataan,” Aisyah lancar melontar bicara.
Lali kritikan
Ditanya, adakah kerjasama dengan Rizky yang cukup popular di Indonesia memberi kelebihan atau peluang untuknya ‘mencuri’ perhatian peminat di republik berkenaan, pelantun lagu Mimpi itu tidak menafikan perkara tersebut.
“Ada sesuatu yang saya boleh belajar daripada Rizky. Dia juga mungkin belajar sesuatu daripada saya. Ini adalah peluang keemasan saya untuk mencipta nama di Indonesia. Saya perlu optimis dan yakin untuk meluaskan horizon seni di sana.
“Acap kali penyanyi Singapura atau Malaysia mengeluh sukar mendapat peluang di Indonesia, sedangkan tiada yang mustahil dalam hidup. Tidak cuba bagaimana hendak tahu, jadi bagi saya, tiada masalah mencuba.
“Selama menjayakan beberapa siri promosi di sana melalui sesi fotografi dan penampilan di televisyen. Saya harus akui, Indonesia adalah satu industri yang besar namun masyarakat di sana bersifat amat terbuka dengan perkongsian seni yang berkualiti,” tutur Aisyah panjang lebar.
Dalam pada itu, dipelawa berbicara mengenai projek solo terbaharu, Aisyah bakal muncul dengan single terbaharu yang merupakan hasil ciptaan penuh olehnya tidak lama lagi.
“Saya sentiasa ingin memperbaiki diri dan mempelajari perkara baharu dalam kerjaya. Untuk itu, saya akan muncul dengan single baharu yang merupakan hasil ciptaan sendiri sepenuhnya. Insya-Allah, selepas Indahnya Pada Waktu, single tersebut akan dirilis pula,” kongsinya.
Menyambung perbualan, Aisyah menjawab kritikan segelintir peminat yang menyifatkan dirinya sukar untuk diterima walaupun mempunyai vokal dan pengaruh muzik yang unik.
Katanya: “Saya hanya bikin perkara yang diminati. Tidak bermakna Taylor Swift berjaya dengan genre muziknya, saya perlu mengikut jalan kerjanya. Kalau saya menyanyi dan mencedok idea Taylor Swift misalnya, lebih baik pendengar dengar lagu atau album dia sahaja.
“Saya juga sudah berhenti untuk berfikir tentang populariti lagu di carta radio dan sebagainya. Sejujurnya, kalau diberi pilihan berdasarkan populariti kepada peminat, antara saya dan Wany Hasrita, pastinya saya jauh ketinggalan. Bagaimanapun, saya yakin ada juga yang menggemari lagu-lagu nyanyian saya.”
Tidak cemburu
Pemilik nama sebenar, Rizky Febian Adriansyah Sutisna pula amat teruja untuk kembali ke Malaysia dan mempromosikan lagu duet bersama Aisyah yang disifatkannya sebagai penyanyi berkarakter istimewa.
“Lagu Indahnya Pada Waktu adalah sebuah lagu lama yang diberi nafas baharu. Masih segar dalam ingatan, sewaktu berusia 15 tahun saya amat menyukai lagi ini dan sering bercita-cita mahu menyanyikannya bersama seorang penyanyi wanita hebat apabila sudah dewasa.
“Akhirnya, cita-cita tersebut terlaksana dengan kerjasama daripada Aisyah, seorang wanita cantik yang vokalnya amat unik dan mempunyai personaliti luar biasa. Saya akui, saya sendiri yang mengejar dia dan memberanikan diri untuk berduet dengannya,” kata anak kepada pelawak terkenal Indonesia, Sule itu.
Mengapa memilih lagu Indahnya Pada Waktu, Rizky yang cukup dikenali menerusi lagu Kesempurnaan Cinta mengatakan lagu tersebut mempunyai sentimen tersendiri terhadap dirinya.
“Semestinya, ia adalah salah sebuah lagu kegemaran saya. Ia mengisahkan hubungan cinta jarak jauh yang saya yakin sedang atau pernah dilalui banyak pasangan kekasih walau di mana berada,” ujarnya ringkas.
Sebelum menggulung bicara, Rizky diajak melanjutkan perbualan tentang ‘kedudukan’ sebenarnya di industri muzik Indonesia dalam kehadiran bakat seni luar biasa seperti Raisa dan Tulus yang begitu menonjol. Katanya, dia tidak bersaing dengan penyanyi lain sebaliknya bersaing dengan kemampuan sendiri.
“Saya amat mengagumi bakat nyanyian Tulus dan Raisa. Saya juga tidak cemburu dengan kejayaan mereka. Kejayaan mereka di Indonesia dan negara serantau memberi inspirasi buat saya untuk terus melahirkan karya yang lebih padat pada masa depan.
“Saya kenal mereka dan kami sama-sama menyokong antara satu sama lain untuk mengangkat muzik Indonesia ke peringkat yang lebih tinggi, kami mahu membanggakan negara,” tutup Rizky yang bakal muncul dengan album studio penuh tidak lama lagi.