Yuna bulan madu di Amerika Selatan


Penyanyi antarabangsa, Yuna atau Yunalis Md Zarai, 33, menjelaskan tidak bermaksud merahsiakan majis pernikahannya bersama suami, Adam Yousof Sinclair, 34, yang diadakan secara tertutup di Puncak Rimba, Bentong, Pahang Jumaat lalu.

Yuna menyifatkan majlis itu sangat istimewa dalam hidupnya dan mahu lebih privasi.

“Saya tidak bermaksud merahsiakan majlis ini, cuma yang mengenali saya, pasti tahu saya agak privasi apabila melibatkan kehidupan peribadi. Jadi rasa saya lebih selesa meraikan hari bahagia itu bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat sahaja.

“Malah sebelum ini juga saya sangat jarang berkongsi hubungan dengan Adam secara terbuka, kerana mahu simpan untuk diri sendiri sahaja,” jelas Yuna.

Berkongsi perasaannya yang kini bergelar isteri, kata Yuna, dia bersyukur kerana segala yang dirancang berlangsung dengan lancar.

“Semestinya saya sangat gembira dan tidak pernah terbayangkan apa yang saya lalui hari ini. Alhamdulillah impian mengadakan majlis perkahwinan dalam taman menjadi kenyataan.

“Biarpun majlis kami bermula agak lewat sedikit daripada waktu dijadualkan kerana hujan, namun semua orang gembira dan sama-sama menjadi sebahagian daripada hari bersejarah kami ini,” ujarnya di majlis sidang media khas yang diadakan di Putrajaya Sabtu lalu.

Mengimbas kembali pertemuannya dengan Adam, kata Yuna, dia tidak menyangka sama sekali, hubungan yang pada mulanya itu hanya atas dasar kerja akhirnya bertukar menjadi cinta.



“Kami saling mengenali ketika menjalani penggambaran sebuah projek iklan televisyen beberapa tahun lepas (2013). Ketika itu Adam terlibat sebagai pengarah.

“Mood saya hari itu tidak begitu baik setelah melalui perjalanan yang panjang dari Los Angeles ke Kuala Lumpur, ditambah pula dengan jadual penerbangan yang ditunda.

“Bagaimanapun apabila tiba di set penggambaran, Adam buat saya rasa selesa dengan sikapnya yang sangat positif dan tenang mengendalikan saya sepanjang penggambaran itu berlangsung membuatkan saya rasa OK dengan dia,” luah Yuna.


Sementara itu, Adam mengakui pernikahannya dengan penyanyi popular yang sedang mencipta nama di peringkat antarabangsa itu pastinya akan turut mendedahkannya kepada perhatian peminat Yuna.

“Sebenarnya sebelum kenal dengan Yuna lagi saya sudah terdedah dengan situasi seumpama itu apabila abang dan kakak saya, Ashraff serta Aishah Sinclair merupakan selebriti yang dikenali ramai.

“Jadi saya sudah terbiasa dengan situasi itu apabila mereka menjadi perhatian ketika keluar bersama dan begitulah yang saya lalui ketika bersama Yuna.

“Saya OK saja dan tiada masalah kerana dari awal sudah memahami keadaan itu,” katanya.

Menyentuh bulan madu dan anak, Yuna mengakui belum membuat sebarang perancangan ke arah itu lagi.

“Kami berdua belum memutuskan mana-mana destinasi lagi. Mungkin kami akan memilih Amerika Syarikat (AS) atau ke Amerika Selatan. Tentang anak, semestinya saya excited untuk memiliki anak. Namun terpulang kepada rezeki dan biarlah berlaku secara sendiri.

“Sekitar Jun atau Julai nanti saya akan tampil dengan album baru dan selepas itu terlibat dengan tour di sekitar Amerika dan Eropah dan agak sibuk sedikit,” jelasnya.

Dalam pada itu, penyanyi Terukir Di Bintang ini turut memberitahu, suaminya, Adam akan mengikutinya ke AS dan membina kerjaya bersamanya di sana.



“Saya akan meneruskan kerjaya seni seperti biasa di Amerika Syarikat dan berulang-alik ke Kuala Lumpur jika ada keperluan kerja selain menjenguk keluarga di sini.

“Segalanya masih dalam perancangan, tapi kalau boleh saya mahu suami sentiasa bersama dan dekat dan dengan saya, jadi mungkin selepas ini dia akan ikut serta saya ke sana.

“Adam seorang pengarah yang sangat berbakat dan mungkin selepas ini kami boleh bekerjasama dan membantu antara satu sama lain dalam kerjaya masing-masing,” kata Yuna.

Majlis resepsi pasangan ini berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad lalu dihadiri lebih 1500 tetamu.

Post a Comment

Previous Post Next Post