Hafiz Suip lancar single baru selepas bergelar bapa


Penyanyi yang berasal dari Kuching, Sarawak, Hafiz Suip kini kembali dengan single terbaru, Hari Ini Dalam Sejarah.

Menariknya, single berkenaan dilancarkan sebulan selepas Hafiz atau nama lengkapnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 27 menimang cahaya mata pertama, Disember lalu.

Hampir dua tahun sunyi tanpa sebarang lagu baru, Hafiz kini optimis mempertaruhkan Hari Ini Dalam Sejarah ciptaan Audi Mok manakala lirik oleh Shazee Ishak bagi meneruskan empayar seninya dalam industri hiburan tempatan.

Lagu dalam genre pop itu juga sedikit ‘lari’ daripada barisan lagu terdahulunya yang sebelum ini lebih sinonim dengan lagu-lagu balada.

Hafiz mengharapkan kelainan yang diterapkan menerusi single ini dapat memberikan impak positif buat kerjayanya.

“Syukur dengan kehadiran putera sulung kami, Muhammad Riyadh Zafri dan ini merupakan hadiah paling istimewa sepanjang hidup. Harapnya, single terbaru Hari Ini Dalam Sejarah ini juga menjadi satu permulaan yang baik bagi tahun 2018,”katanya.

Terdahulu, single berkenaan menceritakan tentang sesuatu kenangan bersejarah atau mempunyai makna tertentu yang berlaku pada hari tersebut seperti kelahiran anaknya, tarikh perkahwinan dan hubungan bersama isteri tersayang.

“Pelbagai peristiwa telah dan bakal berlaku dalam hidup kita sehari-hari dan kadangkala boleh membawa maksud istimewa bagi setiap individu dan layak diingati sampai bila-bila.


[PROMO]


“Sepanjang bergelar anak seni, bermacam-macam yang telah saya tempuhi dan setiap momen saya anggap berharga kerana tanpa pengalaman lepas, saya tidak akan berdiri di sini pada hari ini,” kongsinya jujur.

Sementara itu, Ketua Label Muzik Rocketfuel Records Adam Lobo, memberitahu, Hafiz telah melakar pelbagai kejayaan sejak bergelar bekas juara Akademi Fantasia musim ketujuh.



“Selain menyanyi, dia juga berbakat sebagai pelakon dan pengacara, ini membuktikan penyanyi berkenaan adalah seorang artis yang versatil. Personalitinya yang bersahaja dan outgoing sangat disenangi dan mudah untuk kami bekerjasama.

Saya percaya Hafiz mampu pergi jauh dan tahun 2018 merupakan sebuah permulaan baru kerana telah lama tidak muncul dengan single terkini sebagaimana lagu-lagu sebelum ini.”



Dalam perkembangan lain, Hari Ini Dalam Sejarah juga sudah boleh dimuat turun menerusi semua platform muzik digital.

Muzik video single tersebut juga sudah ditonton lebih 20,000 tontonan sejak dimuat naik dua minggu lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post