Tauke Jambu terkilan, momen bahagia tanpa anak


Tauke Jambu bakal muncul sebagai mentor atau penasihat kepada peserta dalam program Lawak Solo Duo Trio terbitan Astro tidak lagi.

Sejak berumah tangga dengan Nadia Mohd Affendi pada 9 Disember tahun lalu, Tauke Jambu mengakui tidak mempunyai banyak masa untuk bersama isteri tercinta.

Disebabkan kepadatan jadual kerja, Tauke berhasrat untuk melunaskan segala tanggungjawab terhadap kerjaya sebelum meluangkan waktu bersama isteri, sekali gus mengambil peluang untuk bercuti bulan madu.

Masih dalam peringkat perancangan, Tauke atau Zamratul Amri Zakaria berhasrat untuk membawa isterinya berbulan madu ke pulau. Namun, dia masih tidak membuat sebarang keputusan kerana segalanya bergantung pada hasrat si isteri.

Berkongsi cerita mengenai kemeriahan majlis resepsi yang berlangsung sekitar bulan lalu, pelakon filem Hantu Bungkus Ikat Tepi itu tidak menyangka impiannya untuk mengadakan majlis perkahwinan persis dongeng fantasi Cinderella berjaya terlaksana.

Dia sangat berterima kasih kepada tetamu yang hadir ke majlis tersebut, namun memohon maaf kerana tidak mempunyai masa untuk beramah mesra selain menyusun sepuluh jari terhadap insiden kekurangan tempat duduk.

Bagaimanapun, Tauke turut meluahkan rasa terkilan kerana kesemua enam cahaya matanya berusia lingkungan lapan hingga 16 tahun hasil perkahwinan terdahulu tidak dapat bersama meraikan hari bahagianya.

KOSMO!: Tahniah atas perkahwinan Tauke. Boleh anda kongsikan mengenai kehidupan sekarang yang kembali menggalas tanggungjawab sebagai suami buat kali keempat?

TAUKE: Alhamdulillah saya bersyukur segala perancangan melibatkan majlis akad nikah dan resepsi berjalan lancar.

Perubahan yang dirasakan ialah saya tidak berasa segan untuk keluar bersama dengan isteri (Nadia) depan khalayak. Kehadiran isteri juga secara tidak langsung telah mematangkan saya, sementelah kedudukan kewangan sekarang juga telah stabil.

Alhamdulillah segalanya seperti dipermudahkan selepas berumah tangga. Namun, sejak bulan lalu, saya masih tidak banyak meluangkan masa bersama dengannya kerana kepadatan jadual kerja.

Bolehkah anda kongsikan mengenai perancangan majlis resepsi yang berkonsep seperti dongeng Cinderella?

Secara peribadi saya mempunyai perkahwinan impian dan bersyukur segala yang diinginkan tercapai pada perkahwinan keempat ini.

Sebelum ini, mungkin tidak berkemampuan tetapi syukur, berkat usaha keras dan rezeki, saya berpeluang untuk mengadakan majlis sebegitu.

Bagaimanapun, ia bukan soal majlis sahaja kerana apa yang penting adalah hubungan suami isteri. Saya harap perkahwinan kali ini akan kekal selamanya.

Namun, saya tidak dapat menyembunyikan perasaan terkilan apabila anak-anak hasil perkahwinan terdahulu tidak dapat hadir bersama pada majlis berkenaan.



Mengapakah mereka tidak dapat bersama anda meraikan hari bersejarah tersebut?

Sebagai bapa, pastinya saya ingin berkongsikan emosi kegembiraan bersama anak-anak, apatah lagi kedua-dua orang tua telah tiada. Kami memang kerap meluangkan masa bersama sekiranya saya berkesempatan pulang ke Johor.

Tetapi memandangkan, majlis berlangsung pada cuti sekolah manakala anak-anak pula telah pergi bercuti bersama bekas isteri.

Bagaimanakah hubungan isteri dengan kesemua anak anda?

Hubungan isteri dan anak-anak dalam keadaan baik dan mereka juga masih dalam proses untuk saling mengenali antara satu sama lain.

Adakah anda mempunyai sebarang lokasi yang menjadi destinasi bulan madu kelak?

Buat masa sekarang saya tidak mempunyai sebarang perancangan tetapi apa yang pasti kami akan memilih untuk ke sebuah pulau. Tidak mempunyai sebarang lokasi tetap kerana segalanya juga perlu bergantung pada isteri.

Bagaimanapun, perkara tersebut akan direalisasikan selepas saya menyelesaikan penggambaran sitkom Mamu Mami Gosip dan program Lawak Solo Duo Trio.

Boleh kongsikan sedikit tentang kedua-dua program berkenaan?

Buat masa ini saya tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai perkara itu kerana ia bergantung pada stesen televisyen, Astro.. Namun, tugas saya dalam program tersebut adalah menjadi mentor atau penasihat kepada peserta.

Untuk sitkom Mamu Mami Gosip pula saya memegang watak sebagai Salleh yang merupakan seorang penganggur yang gemar mengusik wanita di pangsapuri Do Re Mi.

Ia merupakan pengalaman pertama saya menjayakan sitkom. Ia menyeronokkan dan saya mudah bekerjasama dengan barisan pelakon seperti Kaza Saisi, Dalimawati, Elisya Sandha, Fikhree Bakar dan Fasha Sandha.

Program tersebut merupakan terbitan FS Creative Sdn. Bhd. milik Fasha Sandha.

Post a Comment

Previous Post Next Post