Dunia belakang tabir Fasha Sandha


Naskah Baharu - Biarpun berusaha gigih untuk meluaskan empayar sebagai penerbit, Fasha juga bakal muncul menerusi drama rantaian bertajuk Teratai Kemboja di TV3.

Tatkala melihatkan wajahnya, ingatan penonton pasti mengimbau semula naskhah mengenai kehidupan masyarakat di utara Semenanjung yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri hiburan tempatan.

Fasih bertutur dalam dialek utara dan memiliki raut wajah yang cukup sinonim dipanggil anak mami merupakan pakej lengkap buat pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan menterjemahkan karakter tersebut dengan mudah.

Kredibilitinya dalam bidang lakonan tidak dinafikan. Berilah watak antagonis mahupun protagonis, dia pasti mampu menzahirkan dengan cara tersendiri.

Hampir dua dekad berkecimpung dalam dunia seni, Fasha kini melangkah setapak ke hadapan dan mula terlibat sebagai penerbit, sekali gus menjadi pemilik rumah produksi FS Creative Sdn. Bhd. yang ditubuhkan dua bulan lalu.

Mengaku pernah mengatakan tidak memiliki sebarang perancangan untuk menceburkan diri di ‘kawasan’ belakang tabir, kini segalanya berubah.

Keputusan tersebut diambil selepas mendapat dorongan daripada kenalan dan memikirkan tentang perancangan masa depannya. Ia lantas mendorong Fasha untuk melakukan anjakan sekali gus menyahut cabaran tahun 2018.

“Saya memang tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjadi penerbit kerana selesa bergerak sebagai pelakon. Namun, peralihan masa menjadikan saya prihatin terhadap perancangan masa depan.

“Saya sanggup membelanjakan wang simpanan dan tabungan di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar.

“Memang secara mata kasar pada peringkat awal agak sukar tetapi selepas berjaya mendapat rentak, alhamdulillah segalanya kini mampu ditangani,” terang Fasha optimis.

Mendapatkan nasihat daripada kenalan terdekat yang mahir dalam bahagian penerbitan, Fasha mengamalkan sikap rendah diri dan enggan berlagak sombong kerana sedar dia masih baharu menggalas tanggungjawab sebagai penerbit.

Wanita berusia 33 tahun itu menjadikan pelakon dan penerbit Datuk Hans Isaac serta Datuk A.Aida sebagai rujukan memahirkan diri.

“Tidak perlu malu untuk menuntut ilmu. Kita juga kena sentiasa berasa rendah diri tanpa mempunyai sifat ego. Hal ini kerana rasa ego yang bersarang dalam diri secara tidak langsung akan menyekat kemahiran kita untuk berjaya,” kata pelakon filem Anak Mami Kembali itu.

Genre komedi
Setelah membuat penilaian, Fasha akhirnya membulatkan hati menerbitkan sebuah sitkom bertajuk Mamu Mami Gosip sebagai ‘anak sulung’ program terbitannya.

Memilih genre komedi sebagai eksperimentasi pertama, Fasha yakin pertaruhannya itu dapat mengembalikan memori nostalgia penonton terhadap sitkom popular sekitar 1990-an seperti Pi Mai Pi Mai Tang Tu, 2+1 dan Spanar Jaya.

“Melihat keadaan sekarang, kita tidak lagi disajikan dengan sitkom seperti dahulu. Program komedi seperti itu bukan sahaja mempunyai mesej tertentu tetapi turut dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Saya masih ingat kemeriahan kami sekeluarga bergelak ketawa menonton rancangan Pi Mai Pi Mai Tang Tu bersama. Disebabkan itu, ia memberi inspirasi kepada saya untuk mewujudkan semula nilai nostalgia tersebut dalam kalangan penonton masa kini,” terang Fasha tersenyum.

Pada masa sama, Fasha tidak menafikan dia memilih genre tersebut kerana berasa terhibur dengan suasana komedi yang menjadi ‘padang permainannya’ sewaktu mula terbabit dengan naskhah sedemikian pada awal pembabitannya dahulu.

Menghasilkan program berbentuk sitkom turut membantunya meluangkan lebih masa bersama anak-anak. Ibu kepada Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima itu berkata, dia dapat menyusun waktu kerja sendiri tanpa terikat dengan tugas di lokasi.



Mamu Mami Gosip

Melanjutkan cerita mengenai sitkom pertamanya itu, Fasha memberitahu, dia menghasilkan sendiri skrip dan konsep rancangan berkenaan. Selain memberi sentuhan nostalgia, Fasha mahu memastikan rencana pertamanya itu berjalan lancar.

Memiliki 50 episod, plot penceritaan Mamu Mami Gosip diambil berdasarkan insiden yang berlaku dalam persekitaran masyarakat masa kini. Antara judul episod sitkom berkenaan ialah Cinta Bisu Pekak dan Janda VS Dara.

Mengakui membelanjakan lebih RM1 juta demi merealisasikan impiannya itu, kos tersebut mencakupi bayaran hampir 50 pelakon undangan, props, sewa studio dan melibatkan kebajikan tenaga kerja seperti penyediaan makanan.

Segalanya diambil kira oleh Fasha meskipun ia mengenai hal remeh seperti tahap kebersihan tandas. Meskipun kedengaran seperti seorang yang mementingkan kesempurnaan tetapi segala yang dilakukan berdasarkan pengalaman 16 tahun berkelana sebagai anak seni.

“Memang agak pening kerana perkara remeh perlu diambil kira. Namun, sebagai penerbit saya perlu memastikan setiap perkara melibatkan teknikal dan kebajikan pelakon serta tenaga kerja tidak mempunyai sebarang masalah,” jelasnya terperinci.

Sitkom arahan Aizam Syamsul itu dibintangi oleh Kazar Saisi, Dalimawati, Tauke Jambu, Elisya Sandha, Afifah Nasir, Fikhree Bakar dan Fasha sendiri.

Selain itu barisan pelakon seperti Saharul Ridzwan, Fauziah Nawi, Anzalna, Hazama, Zahirah Macwilson, Achey, Ruhainies, Abam Bocey, Jasmin Hamid, Farahdhiya, Amyza Adnan, Azmir Raja Lawak dan Aidil Aziz sebagai selebriti undangan.

Tempoh 16 tahun mencipta jenama sebagai pelakon di hadapan kaca televisyen dan layar perak, Fasha Sandha melakukan anjakan dalam kerjaya seninya sebagai penerbit dan pemilik FS Creative Sdn. Bhd., sekali gus melancarkan program pertama terbitannya berjudul Mamu Mami Gosip.

Post a Comment

Previous Post Next Post