Kamal Adli tidak mahu digelar pelawak


Kamal Adli bersama Fad Bocey kini sedia menggalas tugas sebagai pengacara bersama dalam program Gegar Lawak yang akan bermula pada 19 Januari nanti.

Bergelar juara dalam program komedi Super Spontan Superstar 2017 bukanlah tiket atau jalan pintas untuk pelakon Kamal Adli mengakui dirinya seorang pelawak.

Lelaki berusia 31 tahun itu sebaliknya lebih selesa dikenali sebagaimana kerja hakikinya sebagai pelakon drama dan filem.

Ditemui pada majlis sidang akhbar program realiti pertandingan pencarian bakat lawak terbaharu, Gegar Lawak di Comedy Planet, Great Eastern Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini, Kamal yang akan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara bersama pelawak Fad Bocey dalam rancangan yang bermula 19 Januari ini, bercerita tentang pendiriannya mengenai dunia lawak.

Tidak ketinggalan, pelakon drama Duda Pujaan Dara itu sempat ditanya tentang perancangan kerjaya seni sepanjang tahun 2018.

KOSMO!: Apa yang Kamal boleh katakan tentang pemilihan anda sebagai pengacara bersama dengan Fad Bocey dalam Gegar Lawak?

KAMAL: Tentunya teruja kerana diberi kepercayaan oleh Astro untuk menerajui rancangan ini secara langsung. Pada masa sama, saya tetap berasa gementar namun berharap semuanya berjalan lancar. Saya berharap peminat tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana komedi merupakan bidang yang sangat baharu bagi saya.

Adakah anda mendapatkan tunjuk ajar atau merujuk dengan pengacara lain sebelum memulakan tugas dalam rancangan berkenaan?

Sejujurnya saya selesa dengan gaya sendiri yang tidak terlalu cuba untuk membuat lawak. Lagipun saya sudah digandingkan dengan Fad Bocey yang sememangnya bijak buat komedi, jadi saya akan meneruskan gaya pengacaraan seperti biasa. Mujur juga kami sudah rapat sejak menyertai rancangan Super Spontan Superstar 2017 tempoh hari, jadi ia akan memudahkan kerja nanti.

Selepas menjuarai rancangan juara Super Spontan Superstar sekitar Oktober tahun lalu, adakah anda kini aktif sebagai pelawak?

Selepas kemenangan tempoh hari, saya diundang untuk menjayakan sebuah rancangan sitkom terbitan Astro Warna yang berjudul Pecah Perut, kemudian baru saya menyertai rancangan Gegar Lawak sebagai pengacara. Sebenarnya, saya ingin memperlahankan kerjaya dalam dunia komedi, jadi saya lebih fokus kepada kerjaya lakonan yang lebih serius menerusi filem dan drama.



Antara dunia komedi dan lakonan biasa, corak bagaimana yang menjadi keutamaan anda?

Sebenarnya sebagai pelakon, saya mahu melakukan sesuatu mengikut kepakaran saya sahaja. Dari segi lawak, sebenarnya saya tidaklah begitu mahir, ia hadir spontan yang secara tidak langsung nampak kelakar. Bagaimanapun, fokus saya tetap terhadap dunia lakonan.

Adakah ia membawa maksud anda tidak suka digelar sebagai pelawak?

Dunia lawak sekadar percubaan, namun ia bagaikan rezeki apabila saya diangkat sebagai juara tempoh hari. Sejujurnya, saya tidak bersedia untuk digelar pelawak kerana saya bukannya orang yang boleh berdiri di atas pentas dan buat lawak seperti yang biasa dilihat dalam pertandingan lawak. Apa yang boleh saya katakan, saya tidak pandai melakukan sesuatu yang menggeletek hati penonton.

Baiklah, kongsikan perkembangan terkini anda dalam dunia lakonan?

Selepas memenangi Super Spontan Superstar tempoh hari, saya terus masuk ke set penggambaran filem aksi berjudul Escape. Pada awal bulan Februari nanti, saya akan memulakan penggambaran sebuah filem komedi seram berjudul Zaara dan kemudian bersambung dengan drama bercorak kepolisan terbitan Astro. Bagaimanapun, tajuknya belum ditentukan lagi.

Bagaimana dengan perancangan sepanjang tahun 2018?

Untuk tahun ini, seboleh-bolehnya saya ingin melupakan semua kontroversi yang pernah berlaku sepanjang 2017.

Saya juga berharap dijauhkan daripada malapetaka kerana pernah merasai kemalangan motosikal dan kereta pada tahun lalu. Bagaimanapun, tahun lalu tetap memberi kepuasan kepada saya.

Selain menjuarai Super Spontan Superstar, saya juga berjaya mendapat anugerah Pelakon Lelaki Prolifik. Selain itu, tahun ini juga merupakan permulaan terbaik buat saya untuk fokus dalam dunia perniagaan bersama seorang rakan baik.

Post a Comment

Previous Post Next Post