Rosyam Nor Usia bukan penghalang


Mencecah usia 50 tahun, Datuk Rosyam Nor bersyukur apabila bakatnya masih diperlukan dalam industri seni.

Walaupun lebih bersifat eksklusif, yang memberikan tumpuan kepada aksi di filem, bintang filem Castello ini berjaya mengekalkan jenamanya dalam pasaran.

“Alhamdulillah, perjalanan karier saya sepanjang tahun lalu memberi impak yang cukup besar. Saya bersyukur dan berterima kasih pada peminat kerana bukan mudah untuk berada di tahap ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada masa sama, katanya, situasi itu turut menambahkan bilangan peminat baru terutama dalam kalangan generasi muda.

Kata Rosyam, sebagai artis, dia memerlukan peminat baru untuk terus bertahan dan bersaing dengan pendatang baru yang dianggap sebagai persaingan sihat.

Namun pada masa sama, kata pelakon versatile ini, dia perlu berfikir untuk mempertahankan jenama Rosyam Nor itu sendiri supaya terus kekal dalam pasaran.

“Lagipun, mempertahankan populariti lebih sukar daripada mencarinya,” katanya yang mengakui jadualnya padat sepanjang tahun ini.

Jelas Rosyam, itulah yang dipinta daripada ALLAH dan menjadi tanggungjawabnya terus bekerja.

”Dalam hidup saya, tiada istilah penat kerana ini impian saya dan tanggungjawab saya pada industri. ALLAH bagi rezeki, jadi saya akan teruskan perjuangan ini,” katanya.


Tiada istilah berehat

Pada masa sama, pemilik nama penuh Mohamed Noor Shamsuddin ini bertegas tiada istilah ‘berehat’ daripada dunia seni.

“Saya tak akan rehat. Dunia senilah yang memberi impak kepada jenama Rosyam Nor termasuklah dalam bidang perniagaan.

“Lagipun, nama saya hanya berada di kemuncak ketika berusia 33 tahun,” katanya.

Bahkan, pemilik produksi, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ini turut mengimpikan untuk menjadi contoh terbaik terutamanya buat generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menurut Rosyam, dia tidak mahu 'dipuja’ hanya sebagai seorang pelakon tetapi atas dasar faktor susah senang menggapai impian kerana pernah melalui kegagalan.

"Tapi itu adalah pengalaman dan ia meninggalkan hikmah paling besar dalam hidup saya.

Dalam perkembangan lain, Rosyam sedang menunggu tayangan filem lakonannya, KL Special Force dan Lee Chong Wei: Rise Of The Legend di pawagam, Mac nanti.

“Saya juga bakal sibuk dengan penggambaran filem seram arahan Syafiq Yusof dan Tailong oleh Syamsul Yusof dan kembali mengacara dalam satu program ‘table talk’ yang membincangkan peranan media sosial di TV Alhijrah,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post