Sepanjang tahun ini, pelakon Iqram Dinzly, 36, antara yang tidak lepas daripada mencipta kontroversi dengan memuat-naik gambar berkelakuan pelik di laman Instagram. Bermula dengan berswafoto di tanah perkuburan ayahnya Oktober lalu dan yang aneh-aneh lain, ramai yang mengatakan dia mengambil barang terlarang.
Terbaru, status di Instagram peribadinya menjadi tumpuan apabila dia ingin menawarkan diri untuk melakukan aksi tidak senonoh dengan seorang lelaki kerana berang dengan teguran lelaki tersebut.
Selain itu, video-video tariannya yang mempamerkan aksi lucah dan pelik ketika Instagram live baru-baru ini semakin menguatkan lagi dakwaan ramai bahawa pelakon ini semakin tidak waras. Bengang dengan persepsi netizen terhadap dirinya, Iqram tampil membalas kecaman netizen dengan kata-kata kesat yang sekali lagi menjadi tular di laman sosial.
Ternyata banyak pihak yang tidak setuju dengan caranya itu yang dikatakan menyinggung sensitiviti masyarakat. Tidak kurang juga ada segelintir pihak yang tampil ingin membantunya yang dikatakan kurang waras setelah pemergian bapa tercinta. Namun semua itu tidak diendahkan oleh aktor ini malah menyifatkan orang yang mengkritik dirinya sebenarnya busuk hati.
“Mereka tidak tahu sebenarnya saya sedang melakukan transformasi dalam hidup saya dan ia adalah jalan terbaik dan tepat. Ini adalah cara saya dan saya hanya buat apa yang dirasakan betul. Diharap agar netizen berhenti menghukum kerana saya bahagia dengan kehidupan sekarang,” ujarnya yang turut mempromosikan perniagaan di bawah label Bawaabata Merebucks.
Jika banyak pihak mengecam dirinya, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengambil pendekatan berbeza. Menerusi laman Instagram, beliau mengirim surat terbuka kepada Iqram dan memberi nasihat percuma, selain bersedia untuk bertemu dengan pelakon itu.
Pun begitu, Iqram atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin menyatakan dia bukanlah meraih simpati tetapi itu adalah caranya menterjemahkan seni. Malah dalam masa yang sama turut mempelawa Zulkifli hadir ke Ipoh untuk melihat sendiri keadaan dia serta ibunya.
Iqram yang kini mahu dikenali sebagai Princhiqy Dinzly menolak dakwaan suara-suara sumbang yang mengatakan dia sekadar ingin mencipta kontroversi untuk menghangatkan kembali namanya yang semakin suram dalam industri. Malah sempena tahun baru yang bakal mendatang, pelakon ini menanam azam untuk terus menjadi anak yang baik dan berbakti kepada ibu serta keluarga.
Awal tahun lalu, Iqram dilihat semakin kurus selain fesyen berserbannya mencetuskan tanda tanya.
Tindakannya meletakkan kereta secara salah di Pekan Kuah, Chenang, Langkawi pada April lalu, Iqram menerima nota yang ditinggalkan di cermin keretanya dengan tulisan “kereta besar otak kecil.”
Masih menerima tawaran berlakon tetapi terpaksa ditolak kerana menghormati pemergian ayah tersayang pada 10 Oktober lalu.
Biarpun ramai yang mengatakan dia sakit mental namun pengarah Erma Fatima percaya Iqram cuma melakukan persembahan untuk menguji tanggapan masyarakat semata.
Iqram berkongsi video secara ‘live’ tentang pendedahan ibunya yang mengetahui tindak-tanduk serta perlakuan anehnya selama ini.