Hos program masakan Aroma Tradisi yang bersiaran di TV3, Wanns Ahmad, 26, mendedahkan bahawa terdapat beberapa wanita berusia yang cuba mendekatinya untuk berkenalan lebih rapat.
Sejak mengacarakan program berbentuk majalah itu, Wanns mengakui wanita-wanita yang dimaksudkan kebanyakannya terdiri daripada golongan suri rumah.
“Selama semusim menjadi hos Aroma Tradisi yang memulakan siaran awal tahun lalu, saya menerima impak yang agak berbeza sejak menceburi bidang seni kira-kira dua tahun lalu sebagai penyanyi.
“Program ini disiarkan pada setiap hari Rabu pukul 11 pagi dan tentunya majoriti penonton setia adalah suri rumah tangga.
“Sejak itu, saya menerima banyak permintaan untuk menjadi rakan daripada golongan tersebut di laman sosial peribadi saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Berbicara lebih lanjut, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu pada peringkat awalnya melihat senario tersebut adalah perkara biasa kerana menganggap wanita-wanita berkenaan sekadar ingin mendapatkan info tambahan mengenai menu yang dipaparkan dalam setiap episod.
“Namun, lama-kelamaan timbul situasi yang kurang menyenangkan apabila ada antara mereka yang cuba berbual mengenai peribadi.
“Tanpa ditanya, pelbagai masalah yang dikongsi termasuklah isu rumah tangga. Entahlah, saya tidak tahu sebab musabab mereka begitu terbuka untuk bercerita kepada saya. Mungkin saya terlebih ramah agaknya,” selorohnya.
Kata Wanns, dia cuba mengelak dengan baik untuk terus berbual kisah peribadi dan menukar topik perbualan.
Pernah juga mengacarakan program Jalan-Jalan Makan Angin terbitan stesen TV yang sama, Wanns berharap kariernya dalam bidang pengacaraan tidak terhenti setakat itu sahaja.
Ujar penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Terus Mencintaimu itu, dia juga mengintai peluang untuk mengasah bakat lakonannya, pada masa yang sama dalam bidang penciptaan lagu.
“Saya ada beberapa koleksi lagu yang digubah sendiri dan menanti peluang untuk bekerjasama dengan penyanyi tempatan yang sudi menggunakan khidmatnya selaku komposer,” katanya.
Menurut Wanns, dia menjadikan Malique Too Phat sebagai idolanya dalam menulis lagu dan lirik.