Reputasinya sebagai seorang anak seni baik dari sudut lakonan, nyanyian, pengacaraan dan komedi selama 10 tahun kebelakangan ini tidak pernah menghampakan.
Zizan Razak dilihat tahu menyusun strategi melakar hala tujunya agar tidak terus tenggelam walaupun sekarang sudah semakin ramai pendatang baharu dalam industri.
Ternyata, seperti mana yang dapat dilihat, percaturan pelakon kelahiran Dungun, Terengganu ini begitu menjadi untuk tahun 2017 sekali gus menyaksikan dia berada di satu kedudukan prestasi yang mengagumkan. Hal ini diakui sendiri oleh Zizan yang hadir dengan kesimpulan bahawa perjalanannya melewati tahun 2017 penuh dengan keindahan.
Sungguhpun berita gembira yang paling dinantikan oleh peminat setakat ini masih belum diumumkan, soal perkahwinan buat Zizan nampaknya kekal menjadi sebuah rahsia besarnya biarpun dari semasa ke semasa, dia cuma mampu memberikan jawapan klise, berserah pada Tuhan.
Azam baharu
* Mahu memberi tumpuan lebih pada kerjaya lakonan selain mahu mencabar diri dalam perkara yang belum pernah dilakukannya.
* Dia juga enggan dikenali sebagai pelakon eksklusif atau pelakon yang dibayar harga tinggi hanya kerana dia telah memenangi anugerah. "Apa yang penting adalah kualiti dalam lakonan dan persembahan saya," katanya.
* Menganggap dirinya kini memikul tanggungjawab besar sebagai anak seni, Zizan juga mahu memberi kepuasan lebih buat peminat dan penonton yang tentunya meletakkan jangkaan tingi buat dirinya.
Pahit Manis 2017
* Sesuatu yang membanggakan apabila dia dipilih sebagai Ikon Sosial Media Malaysia sekitar November lalu. Ini juga memberi nilai sentimental kerana anugerah itu telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena majlis perasmian Minggu Sosial Media Malaysia (MSMW) 2017.
* Selepas mencipta kejayaan menerusi filem Polis Evo, Abang Long Fadil 2 diangkat sebagai filem paling laku dan mengatasi filem Polis Evo dengan jumlah kutipan sebanyak RM17.8 juta. Menjalani penggambaran filem Polis Evo 2 kini, berbangga kerana karier nyanyiannya juga semakin menyerlah dengan penghasilan tiga single untuk tahun ini yang berjudul Chentaku, Kaki Licik dan Baby Bro yang kesemuanya dimainkan di radio dan mendapat permintaan hangat daripada pendengar.
* Dalam soal cinta, Zizan masih dikaitkan sedang rapat dengan pelakon Mira Filzah. Bagaimanapun sehingga kini dia sendiri cuma mengklasifikasikan hubungan itu sebagai tidak lebih daripada sekadar kawan.
* Paling tenang ketika berdepan dengan sebarang kontroversi, jejaka ini juga dipuji kerana sikap profesionalnya itu bahkan dia mengaku, susah untuk melenting kerana menganggap setiap kali orang bercakap mengenainya, itu bermakna dirinya masih diterima baik dan dilihat sebagai orang penting dalam masyarakat.