Lan Solo Tiada masalah satu pentas dengan Kristal


“Saya tiada masalah langsung jika bertembung atau berada di pentas sama dengan bekas kumpulan saya, Kristal. Saya profesional dalam bekerja apatah lagi membabitkan periuk nasi dan sumber pendapatan buat keluarga,” kata penyanyi Lan Solo, 33.

Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof akui perlu membuat penjelasan ini sebagai pencerahan kepada segelintir penganjur persembahan yang mahu mengundangnya menyanyi.

Katanya, situasi itu berpunca daripada insiden yang berlaku selepas dia mengumumkan mengundur diri sebagai vokalis kumpulan Kristal, baru- baru ini.

“Apa yang sudah berlaku biarlah berlalu. Tambah pula sekarang dalam 'mood' tahun baru, saya sudah buka buku baru untuk kerjaya nyanyian saya dengan memberi fokus bergerak secara solo.



“Apa yang saya harapkan, peluang dan tawaran persembahan. Semoga dengan penjelasan ini, dapat meyakinkan segelintir penganjur persembahan yang bimbang untuk mengundang saya dalam acara hiburan yang sama membabitkan Kristal.

“Saya sudah berkeluarga dan matang. Jadi, janganlah bimbang atau ragu-rugu saya akan melakukan perkara kurang cerdik yang boleh menjatuhkan reputasi diri sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Lan akui sebelum ini kebanyakan penganjur yang menghubungi pengurusnya pasti bertanya apakah dia selesa jika acara itu turut disertai Kristal.

“Saya tegaskan jawapan ikhlas saya, untuk urusan kerja semestinya saya bersikap profesional. Terima kasih kerana memberi saya peluang," katanya.

Lan yang juga pemenang ketiga program Gegar Vaganza 4 (GV4) mengumumkan mengundur diri dari Kristal pada 26 November lalu kerana tawar hati.

Post a Comment

Previous Post Next Post