Sejurus Awal Ashaari dan Muhammad Azmir Selamat atau AG mengumumkan pengunduran mereka sebagai pengacara Melodi, ramai yang tertanya-tanya siapa bakal menggalas tugas sebagai pengacara baru untuk program hiburan popular ini.
Hari ini segala teka-teki telah pun terjawab apabila pihak TV3 menerusi siaran akhbar diedarkan kepada pihak media mengumumkan Melodi musim baru akan diterajui oleh pelakon popular Janna Nick dan pelawak yang juga penyampai Hot FM, Ajak Shiro.
Untuk musim baru ini, Melodi akan bersiaran selama satu jam setengah pada setiap hari Ahad dari pukul 12.00 hingga 1.30 tengah hari.
Menariknya Melodi bakal tampil tiga segmen baru untuk kekalkan identitinya sebagai sebuah program yang ‘fresh’ dan hip.
Tiga segmen tersebut ialah ‘Cerita Sini, Habis Sini’, ‘Kecoh Netizen’ dan ‘Melodi Prihatin’, di samping tetap menyampaikan berita-berita sensasi dunia hiburan.
Pengurus Besar, Kumpulan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Puan Zurina Othman berkata, untuk memastikan Melodi sentiasa mendapat sentuhan baru dengan perkembangan trend terkini, pihaknya yakin Janna Nick yang namanya semakin melonjak naik mampu menarik lebih ramai penonton muda.
"Ajak pula mempunyai potensi dalam bidang pengacaraan dan kami enggan melepaskan peluang keemasan ini untuk bekerjasama dengan selebriti yang versatil ini.
“Selain itu, Melodi musim ini juga akan bersiaran selama satu jam setengah, di mana ia menampilkan beberapa segmen baru yang membincangkan tentang segala isu tular dan sedang rancak dibualkan oleh orang ramai.
“Kami berharap program infotainment popular TV3 ini akan menceriakan lagi hari Ahad para penonton dengan membekalkan isu-isu sensasi yang meliputi artis-artis dalam dan luar negara,” ujarnya.