Iqram Dinzly akhirnya bertemu Mufti Wilayah Persekutuan


Iqram Dinzly (kiri) bergambar bersama Zulkifli (tengah) sambil ditemani Johan (kanan) di kediaman Mufti Wilayah Persekutuan itu semalam.

Harapan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk bertemu dengan Iqram Dinzly akhirnya terlaksana selepas pelakon itu sendiri hadir ke kediamannya di ibu kota, semalam.

Perkara itu dikongsikan Zulkifli menerusi laman Instagramnya yang nyata teruja dengan kedatangan Iqram, 36, ditemani rakan pelakon, Johan A'sari.

"Alhamdulillah, pada petang yang mulia ini saya telah dikunjungi oleh Iqram dan Johan. Perbualan kami merangkumi perkongsian Iqram dalam melayari kehidupan terutama isu yang melingkari dirinya sejak akhir-akhir ini.

"Saya sangat memahami situasi yang sedang dihadapinya dan menamakan pertemuan ini lebih kepada kunjungan dan taaruf antara pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan kedua-dua aktor ini," tulisnya.

Malah, Zulkifli turut berharap pertemuan empat mata bersama mereka pada petang semalam mampu membantu merungkai sejumlah besar lingkaran kemelut kehidupan yang sedang dilalui Iqram.

"Saya yakin di sana terdapat cahaya di hujung terowong kehidupan tatkala kita berpegang kepada tali Allah dengan penuh keimanan di samping makrifah ilmu dengan sedalamnya," tulisnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post