Den membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara.
Pelakon Den Wahab dan Pengarah Aziz M. Osman membuat laporan polis selepas ditipu seorang wanita yang menyamar sebagai ejen agensi pelancongan ketika mereka dan keluarga bercuti ke Korea Selatan pada 24 hingga 28 Disember lalu.
Akibatnya, aktiviti percutian rombongan keluarga mereka seramai 22 orang di negara berkenaan terjejas pada hari ketiga selepas isteri Aziz, Lily Lokman menyedari hotel penginapan mereka tidak dibayar.
Menurut Den atau nama sebenarnya Zaharudin Abd. Wahab, 54, dia membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara di sini selepas mengalami kerugian sebanyak RM90,000 meliputi kos tiket penerbangan pergi dan pulang, penginapan, makanan serta pengangkutan.
“Kami mula menyedari telah ditipu individu ini pada hari ketiga apabila tiba-tiba diminta keluar dari hotel penginapan selepas pihak agensi pelancongan ARBA Travel & Tours tidak mendapat sebarang bayaran.
“Sedangkan kami telah pun melakukan pembayaran secara tunai berjumlah RM50,000 untuk kos tiket penerbangan pergi, makanan dan pengangkutan kepada wanita tersebut sebelum datang ke Korea. Malah kami terpaksa mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM40,000 untuk membeli tiket penerbangan balik.
”Selepas menyedari ditipu, pihak ARBA ada menghubunginya namun dia berdolak-dalik selain mengugut untuk membuat laporan polis,” ceritanya ketika ditemui di hadapan Balai Polis Mutiara Damansara sebentar tadi.
Kos sepanjang dua hari baki percutian mereka di negara berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh ARBA Travel.
Tambah Den, dia berharap agar individu itu dibawa ke muka pengadilan supaya orang ramai tidak menjadi mangsa pada kemudian hari.
“Kami beri wanita ini, Farah Farhan Abdul Fatah tempoh seminggu untuk menjelaskan kesemua bayaran yang telah kami buat kepadanya.
“Jika tidak, kami tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan identiti sebenar individu ini kepada umum selain mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” kata Den.
Wanita berkenaan dipercayai aktif menipu orang ramai menerusi pakej pelancongan murah yang ditawarkan. Antara yang pernah ditipu adalah pelakon Datuk Rosyam Nor.