Dazrin Kamarudin sasar lagu ke peringkat antarabangsa


Pelakon Dazrin Kamarudin mengakui kehidupannya semakin terurus selepas mendirikan rumah tangga.

Bahkan, selebriti berusia 29 tahun ini bersyukur apabila kariernya sama ada dalam bidang seni mahupun perniagaan, turut berjalan lancar.

“Alhamdulillah, kini, langkah saya lebih teratur, kemas dan sempurna.

“Maklumlah, dah ada orang yang jaga. Tak lagi kelam kabut macam dulu-dulu,” katanya.

Dazrin mendirikan rumah tangga dengan bekas pramugari, Nur Fazulin Razali di Hotel Avillion Legacy Melaka, pada 6 Mei 2017.

Malah, pasangan ini juga bakal menyambut kelahiran bayi sulung, pada April nanti.

“Lagipun, saya dah lama buang masa. Saya pula bakal menjadi ayah, jadi saya harus maksimumkan penggunaan masa.

“Sebab itu, saya ingin menggunakan semua peluang yang datang dengan sebaik mungkin,” katanya.

Kembali aktif dengan kerjaya seni, pelakon drama bersiri Cinta Pandang Kedua ini bersyukur apabila single duet, No Champion bersama kumpulan antarabangsa Vessbroz, menerima sambutan memberangsangkan.



“Saya dah lama kenal dengan Vessbroz. Saya tak sangka mereka akan hubungi saya semula dan mengajak untuk menghasilkan lagu bersama.

“Dan jika tiada halangan, lagu berunsur motivasi ini akan dipasarkan ke pasaran antarabangsa tidak lama lagi,” katanya yang baru saja tamat menjalani penggambaran filem XX-Ray 3 dan drama bersiri, Misi Dania Cun.

Tidak hanya itu, Dazrin juga aktif sebagai ahli perniagaan apabila melancarkan bisnes pakaian bersama pereka, Anas Abdullah melalui jenama DK Collection.

Pada masa sama, pelakon filem Apokalips X ini juga terbabit dalam bisnes kosmetik melalui penghasilan produk Najya Beauty, bersama rakan kongsinya, Rohana Che Hassan.

“Minat dalam dunia perniagaan sudah wujud sejak dulu lagi.

“Buat masa ini, kita ada 15 koleksi pakaian, didatangi dalam semua saiz malah sesuai untuk semua golongan lelaki dan wanita,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post