Selebriti, Erra Fazira, 44, akhirnya mengambil keputusan untuk berada di bawah pengurusan artis, MindOrder selepas 25 tahun terlibat dalam dunia seni.
Pengumuman tersebut dibuat pelakon Hingga Hujung Nyawa itu di pejabat syarikat pengurusan berkenaan di Damansara Perdana.
Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek sudah pun membintangi lebih 40 buah filem dan berpuluh tele-telefilem menandatangani kontrak bersama MindOrder Management pada awal bulan ini untuk tempoh dua tahun.
Ditanya apakah sebab utama dia mengambil keputusan tersebut, Erra menjelaskan kredibiliti dan pelan strategik menarik minatnya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga baru syarikat terbabit. Selain Erra, turut sama bernaung di bawah pengurusan MindOrder ialah Fasha Sandha, Reen Rahim, Eyka Farhana, Syazwan Zulkifly dan ramai lagi.
“Bagi saya, seseorang selebriti itu sememangnya perlu mempunyai sebuah syarikat pengurusan yang menguruskan jadual kerja, kontrak aktiviti seni dan sebagainya termasuk krisis yang dihadapi mereka. Jadi, artis itu akan lebih teratur dan profesional sekiranya diwakilkan oleh sesebuah syarikat pengurusan.
“Justeru, saya mengambil keputusan tersebut kerana melihat kredibiliti serta kesemua idea mereka untuk mengembangkan lagi kerjaya seni saya, insya-ALLAH,” kongsinya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Pengarah Urusan MindOrder Management, Murshid Eunos memberitahu, dia cukup berbesar hati apabila selebriti terkenal itu sudi menjadi ahli baru syarikat tersebut.
“Kami berbesar hati menerima Erra Fazira kerana profil seninya yang cukup hebat dan disenangi industri. Insya-ALLAH, tahun ini pelbagai perancangan terbaik telah dirangka buatnya,” jelas Murshid.
Dalam perkembangan lain, Erra baru saja selesai menjalani penggambaran filem Polis Evo 2 dan drama bersiri, Gerak Khas memegang peranan sebagai ASP Jeslina.