Amar Baharin tidur lepas Subuh demi anak sulung


Pasangan pelakon, Amar Baharin dan Amyra Rosli bersama Aqeef Anaqi pada majlis cukur jambul anak mereka di Rosa Event Space, Wangsa Walk Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Amar Baharin, sanggup bersengkang mata sejak kelahiran cahaya mata sulungnya, Aqeef Anaqi, yang kini berusia dua bulan lebih.

Pelakon berusia 33 tahun itu, berkata tabiat sukar terjaga membuatkan beliau memilih untuk 'menahan mata' daripada tidur kerana bimbang tidak menyedari tangisan anak lelakinya itu.

"Saya mempunyai sejarah sukar untuk bangun apabila sudah tidur. Pernah satu ketika, saya tidak sedar kejadian gempa bumi ketika berada di negara seberang kerana terlalu lena.

"Jadi, saya memilih untuk berjaga pada sebelah malam bagi memastikan tidak terlepas tangisan anak atau sebagainya. Malah, saya dan isteri masih lagi baru menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa, justeru langkah berjaga-jaga harus diambil.

"Boleh dikatakan, sepanjang lebih dua bulan sejak kehadiran si kecil, saya memang tidak dapat tidur malam kerana berjaga menguruskan anak, bertukar syif dengan isteri atau ibu mentua, yang menjaganya pada sebelah siang," kata Amar.

Amar dan Amyra Rosli, yang juga pelakon, menyambut kelahiran cahaya mata sulung mereka pada 15 Oktober lalu.

Pelakon Abang Samseng Jemur Kain itu juga berkata, waktu tidurnya bertukar sejak anaknya dilahirkan. Jelasnya, beliau memilih untuk melelapkan mata selepas solat Subuh bagi memastikan Aqeef tidur dalam keadaan baik.

Menurut Amar, tanggungjawabnya kian bertambah selepas menjadi bapa, malah beliau juga perlu bijak membahagikan masa untuk isteri dan Aqeef.

"Kali terakhir saya terbabit dalam penggambaran drama adalah menerusi Kalis Kasih, naskhah untuk slot Samarinda, pada awal November lalu. Selepas itu, saya terus bercuti hingga Amyra habis pantang.

"Saya juga menerima tawaran membintangi drama rantaian 100 episod arahan Feroz Kadir untuk produksi Global Station, bermula bulan ini," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post