Zaiton membuat persembahan pada Majlis Nostalgia Bersama Zaiton Sameon di Restoran Rebung hari ini.
Penyanyi veteran, Zaiton Sameon mengharapkan 2018 menjadi satu tahun yang membawa tuah dalam kerjayanya yang kini dalam proses untuk membuat kemunculan semula.
Zaiton, 60, berkata dia juga bakal bekerjasama dengan komposer A.Ali untuk single baharu yang dijangka menjadi sambungan kepada lagu Menaruh Harapan yang menaikkan namanya suatu ketika dahulu.
“Saya percaya magis A.Ali sewaktu Menaruh Harapan akan sekali lagi menaikkan nama saya semula seperti tahun 80-an.
“Saya harap lagu ini dapat dilancarkan tahun ini juga dan dapat menempatkan semula nama Zaiton Sameon sebagai penyanyi dalam industri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Nostalgia Bersama Zaiton Sameon di Restoran Rebung, sebentar tadi.
Majlis Nostalgia Bersama Zaiton Sameon dianjurkan oleh Wafa Gallery bagi mengumpul sumbangan ikhlas buat Zaiton menerusi pembelian meja untuk sepetang bersama penyanyi tersebut.