Tuah nama Cik Manggis


Pelakon dan penyanyi, Cik Manggis atau nama sebenarnya Nurshazwani Shamsuddin.

Anggota kumpulan De Fam, Nurshazwani Shamsuddin, menganggap nama Cik Manggis yang digunakan beliau dalam dunia seni banyak membawa tuah buat dirinya.

Dikenali dengan nama berkenaan sejak zaman dirinya bergelar penuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, beliau tidak terfikir untuk menukar nama unik terbabit kepada yang lain.

"Semuanya bermula ketika saya menuntut di UiTM, Shah Alam, dalam bidang pengajian skrin pada 2007. Hendak dijadikan cerita, ketika itu ada empat rakan serumah yang dipanggil Wani. Jadi, untuk membezakan kami, kena ada cara lain untuk memanggil diri masing-masing.

"Akhirnya, teman-teman mula memanggil saya dengan nama Manggis kerana saya memiliki mata putih yang besar seperti isi buah manggis.

"Dengan nama itulah juga saya dikenali di kampus. Saya diberi peluang terbabit dengan projek filem pendek dan sebagainya. Jadi, nama Manggis memberi tuah kepada saya," kata penyanyi, pelakon dan penari berusia 28 tahun ini.

Begitupun, isteri kepada pemain bola, Syazmin Fidaus Aminuddin ini berkata, ketika mula-mula menceburkan diri dalam arena seni, ada beberapa syarikat produksi dan stesen televisyen yang mahu beliau menggunakan nama sebenar.

"Saya bagaimanapun berkeras mahu dikenali dengan nama Cik Manggis.

"Nama itu sudah menjadi identiti saya, termasuk di laman sosial. Saya rasa, tiada orang lain yang menggunakan nama buah manggis sebagai pengenalan diri," katanya.

Sebelum bergelar penyanyi bersama trio De Fam dan dikenali dengan lagu Supergirls kira-kira dua tahun lalu, wanita ini terlebih dulu terjun ke bidang lakonan.

Katanya, syarikat Zeel Production banyak membuka pintu rezekinya, sejak 2014. Detik itulah juga yang memberikan peluang untuknya bergabung dengan Azira Shafinaz dan Sophia Liana menubuhkan De Fam.

"Drama pertama saya bersama produksi itu ialah B.I.B yang disiarkan menerusi HyppTV. Ia diikuti Eksperimen Cinta, Dalam Pelukan Ramadan, Jejak Karmila, Kisah Dari Mekah dan Papa Nak Menantu," katanya yang baru-baru ini muncul dengan siri Saka Sisters, bersama Sara Ali.

Post a Comment

Previous Post Next Post